
Nasib menimpa mangsa hanya dikenali sebagai Ah Choong, 22, hanya disedari bapa saudaranya, Ah Lee, 48, selepas dia menerima notifikasi transaksi yang tidak dikenali sebanyak 55 kali pada telefon miliknya berjumlah RM90,104 ke dalam akaun bank anak buahnya itu dalam masa dua hari, yang disyaki disalahgunakan oleh sindiket penipuan pada 27 April lepas.
“Sejak pertengahan Mac lalu, kami mengambil maklum tentang kehilangan Ah Choong dari Ipoh bersama teman wanitanya yang menetap di Kedah sehinggalah saya berjaya menghubunginya pada minggu lepas dan dia meminta wang pampasan untuk kembali pulang ke Malaysia,” katanya menurut laporan Bernama.
Dalam sidang media bersama ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia di Bangunan MCA Perak hari ini, Ah Lee berkata, demi mengambil langkah bertanggungjawab, dia memegang pasport milik anak saudaranya itu agar tidak hilang atau disalahgunakan oleh orang lain.
Bagaimanapun, ejen syarikat tersebut bertindak membuat laporan polis tentang kehilangan pasport mangsa untuk menggantikan yang baharu lalu membawanya ke Myanmar.
“Dia kata kad bank miliknya telah dirampas dan dia telah dipukul sebelum dibawa menaiki pesawat ke negara itu untuk bekerja dengan bayaran kira-kira USD7,000 (RM31,000) setiap bulan, namun dimaklumkan bakal dipindahkan ke syarikat lain kerana tugasnya sebagai khidmat pelanggan tidak begitu baik,” kata Ah Lee yang telah melaporkan perkara itu di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh, Rabu lalu.
Selain itu, seorang lagi mangsa pemerdagangan manusia yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Meng, 32, yang dihubungi melalui laman sosial Facebook berkata dia terkandas di Kemboja sejak lima bulan lalu selepas dijanjikan pekerjaan sebagai pekerja judi (kasino), tetapi malangnya diupah untuk menjadi penipu dalam talian.
“Saya ditempatkan bersama tujuh orang mangsa warga China dan Thailand dalam satu bilik. Saya amat takut kerana tidak mempunyai wang sebanyak USD13,000 (RM57,000) sebagai pampasan untuk pulang ke tanah air,” katanya ketika dihubungi bapanya dari MCA Perak secara panggilan video menerusi Facebook sebentar tadi.
Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Madam Lee, 60, turut memohon kerajaan membantu membawa pulang anak sulungnya, Ah Kit, 34, (bukan nama sebenar) ke tanah air selepas didapati hilang sejak Februari lepas dan dikesan menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Bangkok, Thailand.
“Sebelum ini anak lelaki saya itu bekerja di Kuala Lumpur sebagai pelayan dan sering menghantar wang belanja kepada saya di sini, namun kini saya hanya boleh berhubung dengannya melalui aplikasi Messenger di Facebook dan dikawal oleh pihak sindiket,” katanya sambil menambah laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga di Balai Polis Pekan Baru di sini pada 29 Mac lepas.
Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak Low Guo Nan berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) harus memandang serius isu itu kerana masalah penipuan tawaran peluang pekerjaan dilihat semakin menjadi-jadi.
“MCMC perlu memastikan hantaran iklan pekerjaan sebegini di media sosial ditapis dan dipadam agar dapat mengurangkan kejadian pemerdagangan manusia berulang dan menjerat lebih banyak mangsa. Saya percaya kes pemerdagangan manusia didalangi sindiket tempatan,” tambahnya.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menyemak laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa untuk tindakan lanjut.