Kes baharu Covid-19 turun lebih 58% minggu lepas

Kes baharu Covid-19 turun lebih 58% minggu lepas

Jumlah kes tempatan menurun sebanyak 58.3% atau 20,876 kes kepada 8,703 kes dan kes import berkurang 52.5% atau 61 kes kepada 29 kes.

 Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 4,456,736 kes dengan 23,276 kes aktif. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-18 yang bermula dari 1 hingga 7 Mei, menurun sebanyak 58.3%, iaitu kepada 8,732 kes berbanding 20,937 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menyaksikan jumlah kes tempatan menurun sebanyak 58.3% atau 20,876 kes kepada 8,703 kes dan kes import berkurang 52.5% atau 61 kes kepada 29 kes.

Beliau berkata, angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 4,456,736 kes dengan 23,276 kes aktif.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-18 menurun sebanyak 45.1% atau 56,352 kes kepada 30,930 kes, berbanding ME ke-17 dan kumulatif individu pulih ialah 4,397,881.

“Kes kematian pada ME ke-18 menurun sebanyak 42.9% (56 kes kepada 32 kes) berbanding ME ke-17 dan menjadikan kumulatif kes kematian kini 35,579,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan, iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun 27% untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.

“Kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 50% melibatkan semua kategori pesakit.

“Secara keseluruhan, peratusan penggunaan katil Covid-19 bukan kritikal turun 21%; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun 20% dan katil PKRC pula menurun 100%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.