23 Mei dengar kebenaran merayu Najib, Shafee batal kelayakan Sri Ram

23 Mei dengar kebenaran merayu Najib, Shafee batal kelayakan Sri Ram

Timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Najib Razak dan Muhammad Shafee Abdullah untuk melanjutkan masa hingga 17 Mei bagi memfailkan hujahan bertulis.

Najib Razak dan Muhammad Shafee Abdullah gagal dalam rayuan mereka pada 8 Ogos tahun lalu untuk menggugurkan Gopal Sri Ram daripada menjadi timbalan pendakwa raya kanan dalam kes mereka.
PUTRAJAYA:
Permohonan Najib Razak dan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk kebenaran merayu terhadap penolakan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan kelayakan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes mereka, akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mei.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara, Shamsul Bolhassan apabila dihubungi Bernama hari ini.

Pengurusan kes bagi kes itu dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Fadzlin Abd Zawawi hari ini yang dihadiri peguam Sarah Abishegam yang mewakili Najib dan Shafee manakala Peguam Persekutuan, Nur Syazwani Abdul Aziz bagi pihak kerajaan Malaysia, pihak pendakwaan dan Sri Ram.

Menurut Shamsul, timbalan pendaftar itu telah membenarkan permohonan Najib dan Shafee untuk melanjutkan masa hingga 17 Mei bagi memfailkan hujahan bertulis.

Pada 8 Nov tahun lalu, bekas perdana menteri itu dan Shafee gagal dalam rayuan mereka untuk menggugurkan Sri Ram daripada menjadi timbalan pendakwa raya (TPR) kanan dalam kes mereka.

Pada 28 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya sebagai TPR kanan dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Disember 2018.

Shafee yang juga peguam Najib, turut mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai TPR tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.