
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu, Amirun Mohamad, 14, ditemui pada 6.10 petang di Lubuk Cina, kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat, lapor Bernama.
Terdahulu, Amirun dari Jabor, Terengganu itu dilaporkan hilang pada kira-kira 2.30 petang semasa mandi bersama abang dan dua sepupunya.
Mereka difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah. Mereka dihanyutkan arus deras ke tempat dalam sebelum abang dan dua sepupu mangsa diselamatkan oleh orang awam yang berada di situ.
Mereka yang selamat ialah abang mangsa, Mohamad Azri, 17, dan dua sepupunya iaitu Amaluddin Ismail, 13, serta Mohamad Khalid Yusof, 16.