Lelaki Bangladesh bunuh rakan ditahan di kedai cuci kereta

Lelaki Bangladesh bunuh rakan ditahan di kedai cuci kereta

Suspek berusia 25 tahun dipercayai bersembunyi dan polis turut menemui pisau dipercayai digunakan untuk membunuh rakan senegara.

Nor Omar Sappi berkata, suspek dipercayai menikam mangsa lima kali di badan mangsa sebelum meninggal dunia dalam kejadian 2 Mei lalu. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis kerana disyaki membunuh rakan senegara dalam pergaduhan di tingkat atas bumbung sebuah bangunan kedai, di Sitiawan, Perak, awal bulan ini.

Ketua Polis Manjung Nor Omar Sappi, berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan di kedai cuci kereta di Sitiawan hasil maklumat awam, pada 12.50 tengah malam tadi.

“Polis turut merampas pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa. Polis berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat berkenaan suspek,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa, 39, yang bekerja sebagai operator sebuah kilang dan tinggal bersama tujuh lagi lelaki senegara maut dalam pergaduhan di tingkat atas bumbung sebuah bangunan kedai.

Dalam kejadian itu, mangsa dan suspek bekerja di kilang sama itu dikatakan naik ke tingkat atas bumbung untuk berbual, manakala yang lain tidur di tingkat bawah.

Pada jam lebih kurang 3 pagi, seorang rakan serumah mangsa terdengar bunyi bising dari tingkat atas bumbung seperti orang meminta tolong lalu mengejutkan rakannya yang lain dan terus pergi ke tingkat atas.

Sebaik tiba, mereka melihat mangsa sudah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek serta berlumuran darah.

Siasatan awal polis menemui lima kesan tikaman di bahagian badan mangsa dan tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian.

Polis memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.