
Selain PBK, PSB sebelum ini sedang melakukan rundingan bersama DAP berhubung pembahagian kerusi dalam usaha menumpaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam kenyataan bersama antara PSB dan PBK, kedua-dua parti tempatan itu, berkata mereka memberikan tumpuan kepada pembahagian kerusi.
“Pertemuan hari ini adalah bagi membincangkan tentang pembahagian kerusi kedua-dua parti yang akan bertanding pada PRU15 kelak.
“Kedua-dua parti akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mengelakkan pertembungan kerusi yang akan ditandingi, seterusnya memastikan representasi parti tempatan di Parlimen Malaysia lebih menyeluruh,” katanya menurut laporan Awani.
Menurut laporan itu, PSB dan PBK mesti bertindak mewakili suara rakyat Sarawak di Parlimen, seterusnya melaporkan kembali kepada rakyat negeri itu mengenai sebarang keputusan yang dicapai melibatkan negeri itu.
Ini kerana parti tempatan akan sentiasa memperjuangkan hak dan kedaulatan negeri Sarawak sebelum sebarang keputusan dicapai tanpa berbelah bahagi.
“Keterbukaan kedua-dua parti akan memastikan rakyat negeri Sarawak dapat menikmati sebarang faedah tanpa diskriminasi.”
Pertemuan di antara kedua-dua parti sebelum ini diwakili oleh Presiden PSB Wong Soon Koh, Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PSB Sibu Wong Hie Ping, Setiausaha Agung PBK Priscilla Lau dan Lawrence Lai yang merupakan Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya PSB Miri.
Terdahulu, media melaporkan, PSB tidak akan membentuk pakatan bersama DAP, namun akan meneruskan rundingan dengan parti itu agar mempunyai peluang lebih besar untuk menang, menjelang PRU15.
Soon Koh berkata, keputusan rundingan itu dibuat selepas mengambil pengajaran daripada kesilapan, pada pilihan raya negeri Sarawak lalu, susulan kekalahan besar pembangkang kepada GPS.
“Perbincangan ini bukan untuk menubuhkan satu pakatan atau sebagainya. Tujuan utama kita adalah untuk mengelakkan pertembungan antara satu sama lain agar kita mempunyai peluang lebih besar untuk menang.
“Kita telah belajar dari kesilapan semasa pilihan raya negeri yang lepas. Jika kita tidak menentang satu sama lain, kita mungkin dapat menang lebih banyak kerusi, sekali gus menafikan GPS menang besar,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.