
Gabenor BNM Nor Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata dalam memutuskan untuk memberikan lima lesen, BNM mempertimbangkan banyak faktor, seperti saiz sistem perbankan negara, berbanding ekonomi.
“Ia bukan seperti “lebih banyak, lebih meriah!”,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata, adalah penting untuk mengimbau kembali keadaan pada 1990-an, yang mana negara mempunyai sejumlah besar bank domestik, namun kebanyakannya tidak mempunyai kekuatan kewangan, saiz dan skala untuk beroperasi secara berdaya maju atau bersaing dengan berkesan.
“Apa yang jelas, rakyat Malaysia tidak memerlukan jumlah bank yang lebih banyak.
“Kita juga tidak boleh melupakan krisis kewangan Asia yang mana ekonomi negara mengalami kemelesetan yang paling teruk disebabkan oleh beberapa bank lemah yang gagal – dengan kesannya ditanggung oleh pembayar cukai,” katanya.
Jumaat lalu, dilaporkan konsortium membabitkan RHB, YTL dan Kuok Brothers Sdn Bhd, dipilih Kementerian Kewangan menjalankan operasi bank digital.
Nor Shamsiah berkata, pemohon bank digital yang berjaya juga telah menunjukkan bagaimana mereka akan menguruskan operasi secara berkesan atau cekap, termasuk kemampuan untuk mematuhi standard kewangan, tadbir urus dan risiko yang bertujuan melindungi pendeposit bagi tempoh secara berterusan.
Mengulas kebimbangan lima penerima lesen bank digital kurang penyertaan syarikat Bumiputera, Nor Shamsiah berkata, dua konsortium, Boost-RHB dan KAF Investment Bank majoritinya dimiliki oleh Bumiputera.
“Konsortium lain yang berjaya turut mempunyai pegangan saham Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, secara umumnya, pegangan saham Bumiputera dalam sistem kewangan juga ketara, iaitu pada 43.5%, lebih tinggi daripada yang dilihat dalam sektor ekonomi lain.
Katanya, adalah lebih penting untuk melihat isu berkenaan bukan hanya sekadar kepada pemegang saham semata-mata.
“…tetapi kepada impak yang kita harapkan dan mahukan daripada bank digital – iaitu untuk menyediakan perkhidmatan dengan berkesan kepada segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan, yang kebanyakannya daripada komuniti Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata, pada akhirnya, bank digital yang kukuh dan berjaya akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.