Remaja dikhuatiri lemas dihanyut arus deras

Remaja dikhuatiri lemas dihanyut arus deras

Mangsa Amirun Mohamad, 14, difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah.

Mangsa dikatakan turun mandi bersama tiga ahli keluarga sebelum mereka didakwa dihanyutkan arus deras ke tempat dalam. (Gambar Freepik)
KUANTAN:
Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi selamat selepas mereka dihanyutkan arus semasa mandi di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing di sini hari ini.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa Amirun Mohamad, 14, dari Jabor, Terengganu difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah.

“Mangsa didakwa turun mandi bersama tiga ahli keluarga sebelum mereka didakwa dihanyutkan arus deras ke tempat dalam kira-kira pukul 2.30 petang.

“Orang awam yang berada di lokasi cuba untuk membantu, namun hanya dapat menyelamatkan tiga remaja manakala Amirun terus dihanyutkan ke bahagian hilir sungai dan gagal dilihat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Zahari berkata, mereka yang selamat ialah abang mangsa, Mohamad Azri, 17, dan dua sepupunya iaitu Amaluddin Ismail, 13, serta Mohamad Khalid Yusof, 16, kedua-duanya dari daerah ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai Kuantan dan Pekan yang menggunakan teknik selaman bagi mencari mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.