Pertemuan Ku Li tiada agenda, tak perlu tindakan disiplin, kata pemimpin Umno

Pertemuan Ku Li tiada agenda, tak perlu tindakan disiplin, kata pemimpin Umno

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Jalaluddin Alias berkata, sesiapa pun boleh berjumpa dengan orang lain ketika Ramadan dan Aidilfitri.

Jalaluddin Alias (kanan) berkata, Umno tidak wajar mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah tanpa bukti jelas.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berpendapat bahawa langkah veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menemui beberapa pemimpin pembangkang Kelantan adalah perkara biasa dan tiada agenda khusus.

Justeru anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Jalaluddin Alias berkata, tidak wajar tindakan disiplin diambil terhadap Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li.

“Isi sebenar perbincangan itu kita tidak tahu. Sesiapa pun boleh berjumpa dengan sesiapa sempena Ramadan, sempena Aidilfitri dan sebagainya.

Tonton video di sini.

“Biasalah pelbagai persepsi timbul, lebih-lebih lagi apabila kita akan menghadapi pilihan raya umum akan datang. Saya fikir tidak wajar buat apa-apa komen berkaitan pertemuan itu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Pada 26 April lalu, Tengku Razaleigh dilaporkan menemui beberapa pemimpin Kelantan, termasuk bekas ketua Amanah negeri itu, Wan Abd Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan dalam satu majlis berbuka puasa.

Ia membawa kepada spekulasi bahawa Tengku Razaleigh sedang menghimpunkan sokongan untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS dalam PRU15.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh memberitahu FMT bahawa pertemuan itu diperbesarkan pembangkang berbanding apa yang sebenarnya berlaku sekali gus menolak cakap-cakap berhubung kemungkinan ahli Parlimen Gua Musang itu dan Amanah bekerjasama untuk menjatuhkan kerajaan PAS.

Orang dalam itu berkata, Tengku Razaleigh bukan lagi “peserta dalam permainan” dan wujud kemungkinan beliau bersara sebaik sahaja Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Jalaluddin berkata, jika perbincangan Tengku Razaleigh dan beberapa pemimpin pembangkang Kelantan itu adalah mengenai agenda khusus untuk menjatuhkan Barisan Nasional, maka parti tidak boleh berdiam diri.

“Tetapi ini berlaku sekiranya tindakan itu terbukti benar, kalau setakat persepsi dan dakwaan semata-mata, tidak wajar untuk kita ambil tindakan. Sebab itu pun hanya pertemuan biasa yang dibuat. Semua itu hanya cakap yang tidak membawa bukti perkara itu betul.

“Umno kebiasaan akan mengambil tindakan apabila ada bukti-bukti yang nyata dan jelas. Parti yang akan ambil tindakan dan keputusannya asalah berasaskan kepada perlembagaan parti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.