Kenapa panggilan 999 di Sabah masih dialih ke Semenanjung, soal pemimpin Warisan

Kenapa panggilan 999 di Sabah masih dialih ke Semenanjung, soal pemimpin Warisan

Ini menyusul seorang lelaki berusia 54 tahun yang meninggal dunia di Kota Kinabalu semalam akibat serangan jantung kerana ambulans hanya tiba sejam kemudian.

September lalu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor menggesa sistem MERS999 diperbaiki.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Warisan mempersoalkan mengapa panggilan kecemasan ke Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS999) di Sabah masih dialihkan kepada pihak berkuasa di Semenanjung.

Ini menyusul kematian seorang lelaki berusia 54 tahun di Kolombong, Kota Kinabalu semalam akibat serangan jantung. Daily Express melaporkan ambulans hanya tiba sejam selepas panggilan dibuat kepada MERS999.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong berkata, isu terbabit perlu diperbetulkan secepat mungkin kerana kelewatan dalam mengendalikan panggilan kecemasan akan mengancam nyawa rakyat Sabah.

“Kenapa panggilan perlu dialihkan ke (Putrajaya), bukannya pusat panggilan Sabah sendiri? Mengapa perkara mudah seperti ini tidak dapat diselesaikan?

“Ini tidak masuk akal dan tidak boleh diterima. Berapa banyak lagi nyawa perlu dikorbankan?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

September lalu, timbul dakwaan bahawa pasukan bomba kehilangan masa berharga dalam memadamkan kebakaran yang mengorbankan empat sekeluarga di Taman Hungab, Penampang kerana panggilan kecemasan dirujuk ke Putrajaya terlebih dahulu di bawah sistem berkenaan.

Ia menyebabkan Ketua Menteri, Hajiji Noor menggesa sistem MERS999 diperbaiki kerana ia berpusat di Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.