
Menteri Pendidikan, Radzi Jidin bagaimanapun berkata, perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.
“Berkaitan dengan COS, kita lihat ramai bangkitkan mengenai isu ini dan ramai yang menyampaikan masalah ini kepada kementerian.
“Oleh itu isu ini kini dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji bulan lima itu tidak benar kerana kami akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya dekat Ketereh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, pihaknya sentiasa berbincang mengenai pendekatan terbaik untuk guru kontrak perkhidmatan itu.
Semalam, menerusi hantaran di Facebook dan Twitter Radzi memaklumkan beliau mengarahkan isu guru COS ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak bulan depan diberi perhatian dan diselesaikan segera.
Beliau berkata, KPM dan SPP sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan perincikan satu persatu tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal.
“Kami sedang kaji secara mendalam dengan mengambil kira data dari 2017 kerana mana-mana perkhidmatan lain juga akan ada yang mengambil ketetapan untuk bersara awal, bukan guru sahaja yang bersara awal kerana ia adalah pilihan masing-masing,” katanya.