Ahli Parlimen bimbang tram Melaka jadi projek ‘gajah putih’

Ahli Parlimen bimbang tram Melaka jadi projek ‘gajah putih’

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata tiada maklumat terperinci mengenai cadangan projek perkhidmatan tram di Bandaraya Melaka.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mempersoalkan sama ada Bandar Melaka mempunyai kepadatan yang cukup bagi mewajarkan kelangsungan perkhidmatan tram.
PETALING JAYA:
Cadangan projek perkhidmatan tram di Bandaraya Melaka sesuatu yang membimbangkan kerana tidak berlandaskan sebarang kajian teknikal dan kebolehlaksanaan, kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Beliau berkata, cadangan itu dijangka memerlukan kos tinggi, namun tiada maklumat terperinci berhubung cadangannya, selain penduduk dan pemegang taruh tidak dilibatkan walaupun ia memberi kesan besar kepada golongan terbabit.

“Tiada maklumat terperinci mengenai cadangan projek ini. Di manakah lokasi pembinaan landasan tram ini? Berapakah kos yang terlibat? Bagaimana ia akan dibiayai?

“Adakah Bandar Melaka mempunyai kepadatan yang cukup untuk mewajarkan kelangsungan perkhidmatan tram ini?,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Khoo, kerajaan negeri harus mengurangkan ketaasuban terhadap projek mega yang bersifat ‘gajah putih’ seperti itu dan lebih baik memfokuskan kepada keperluan dan kesejahteraan asas penduduk.

Katanya, projek monorel yang nyata telah gagal berulang-kali perlu dijadikan sandaran.

“Tidak dinafikan bahawa Melaka mengalami masalah kesesakan jalan raya yang amat serius. Pembangunan awam amat dialu-alukan untuk mengatasi masalah ini, namun ia haruslah berlandaskan perancangan yang sesuai.

“Di Melaka, perkhidmatan asas seperti bas awam pun telah gagal dibangunkan oleh kerajaan negeri sehingga syarikat bas berhutang dan bas terbengkalai,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata cadangan perkhidmatan tram Bandar Melaka merupakan antara intipati perbincangan ketika hadir bertemu Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam, di Istana Melaka.

Beliau berkata, antara perkara dibincangkan termasuk mengenai pembangunan pesat dalam sektor pelancongan kesihatan Melaka yang mendorong projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam yang perlu dipercepatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.