
Dengan semangat untuk menegakkan keadilan, Karuna akhirnya meletakkan dirinya menentang pihak pengurusan, dan bermula daripada detik itu, beliau tegar menyokong kebajikan kakitangan.
Apabila beliau mengutarakan mengenai isu pantri, “pengurus saya melemparkan buku panduan kakitangan dan berkata, ‘Itu adalah perjanjian bersama bagi (kakitangan) perkeranian. Anda perlu patuhi perjanjian itu,” kata Karuna kepada FMT.
Kecewa dan rasa dipinggirkan, beliau mengambil keputusan menghadiri mesyuarat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE). Di penghujung pertemuan mereka, dia akhirnya menjadi ahli kesatuan berkenaan.

Berbekalkan nasihat daripada kesatuan, Karuna kembali kepada pihak bank dan memfailkan aduan kepada jabatan sumber manusia. “Dua hari selepas itu, semua permintaan kami diterima,” katanya.
Pengalaman terbabit mengukuhkan lagi dirinya untuk terus melakukan lebih banyak usaha membabitkan kesatuan, dan sejak itu, dia akan bergegas kepada pejabat NUBE, di Brickfields, Kuala Lumpur, selepas bekerja setiap hari untuk membantu apa sahaja yang termampu, sebelum menaiki bas, pada 7 malam, untuk pulang ke rumahnya, di Seremban.
Karuna kekal berulang alik setiap hari.

Beliau kemudian bertanding pada pemilihan dan menjadi penolong setiausaha agung kesatuan berkenaan. Sehubungan itu, NUBE memerlukan khidmatnya sepenuh masa dan memohon kepada bank tempatnya bekerja untuk dipinjamkan kepada pihak kesatuan.
Karuna berkata, bekerja untuk kesatuan seperti menyatukan komuniti berjuang menegakkan hak sebagai insan.
“Berabad lalu, tidak ada bekerja syif selama lapan jam sahaja, rehat sehari, atau kerja lebih masa. Hak berkenaan tidak diberikan, ianya diperjuangkan oleh rakyat yang bersama membentuk kesatuan pekerja.”
Walaupun selepas bertahun-tahun, Karuna masih mendapat inspirasi daripada prinsip kesatuan yang didengarnya dalam pertemuan dengan pihak kesatuan itu, pada kali pertama.
“Saya tidak pernah membayangkan bahawa akan ada seseorang, apatah lagi pertubuhan yang akan menjuarai hak saya secara saksama dengan orang lain,” katanya.