Masjid di Pulau Pinang beri ganjaran wang tunai kepada pelajar cemerlang

Masjid di Pulau Pinang beri ganjaran wang tunai kepada pelajar cemerlang

Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM diberikan ganjaran bernilai antara RM50 dan RM200.

Pelajar beratur untuk menerima wang saku RM5 daripada pengerusi jawatankuasa masjid, Mohd Ali Mohd Yusof. (Gambar Khairul Mohd Ali)
GEORGE TOWN:
Pelajar dengan pencapaian cemerlang di kawasan Sungai Gelugor, Pulau Pinang, bukan sahaja memperoleh ganjaran rohani dengan menghadiri sebuah masjid tempatan, malah mereka juga boleh mengharapkan ganjaran wang tunai untuk keputusan yang cemerlang, atau pergi ke sekolah.

Sejak enam tahun lepas, Masjid Jamek Sungai Gelugor menyediakan bantuan tunai sekali beri untuk pelajar yang diterima masuk ke kursus ijazah pertama di universiti awam.

Mereka yang mendapat gred “A” dalam peperiksaan awam di sekolah rendah dan menengah juga diberi hadiah wang tunai.

Selain itu, pihak masjid turut memberi wang saku RM5 kepada pelajar yang datang untuk menunaikan solat Subuh sebelum ke sekolah.

Program itu bermula apabila ibu bapa dalam komuniti itu, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin bandar, mendekati jawatankuasa masjid untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Seorang pelajar perempuan menerima hadiah wang tunai untuk pencapaian cemerlangnya dalam SPM pada 2019. Turut hadir adalah ADUN Seri Delima Syerleena Abdul Rashid (bertudung hitam) dan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor. (Gambar Masjid Jamek Sungai Gelugor)

”Ada yang datang minta bantuan, warga daif dari kawasan setempat (Sungai Gelugor) yang mengatakan anak mereka dapat tempat di institusi pengajian tinggi awam, tetapi mereka tak dapat hantar (kerana tiada wang).

“Di situlah bermulanya inisiatif ini,” kata ketua biro belia jawatankuasa masjid, Khairul Mohd Ali, 35.

Penolong bendahari Zainol Amil, 49, berkata kerja amal itu dimulakan oleh Allahyarham Nasir Yahaya, bendahari masjid itu.

Program itu pada mulanya disasarkan bagi golongan asnaf dalam kumpulan B40, kemudian diperluaskan kepada golongan M40.

Seorang pelajar lain menerima hadiah wang tunai pada 2019. (Gambar Masjid Jamek Sungai Gelugor)

Sejak 2016, sejumlah RM18,000 telah diberikan dalam bentuk bantuan sekali beri RM300 seorang kepada 60 pelajar baharu prasiswazah.

Pelajar sekolah rendah dan menengah yang memperolehi keputusan semua “A” pada peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM juga layak mendapat hadiah wang tunai.

Jumlahnya antara RM50 hingga RM100, RM150 dan RM200.

”Lebih 360 orang dapat manfaat daripada program (hadiah wang tunai) ini. Pada 2021 sahaja, 31 pelajar dapat manfaat,” kata Zainol.

RM5 wang saku

Sementara itu, sejak 2018, pihak masjid menghulurkan wang saku RM5 kepada pelajar yang datang menunaikan solat Subuh sebelum ke sekolah.

”Bulan pertama program ini (bermula), 400 orang pelajar dapat wang saku RM5. Kini, sekurang-kurangnya 20 hingga 25 murid dapat setiap hari.

Masjid Jamek Sungai Gelugor di Pulau Pinang memberikan bantuan dan hadiah wang tunai kepada pelajar sekolah yang mencapai keputusan cemerlang.

”Dalam setahun, lebih kurang 5,000 murid dapat wang saku RM5 itu,” kata Zainol.

Wang itu datang daripada sumbangan orang ramai dan individu.

“Wang ini disumbangkan oleh komuniti dan disumbangkan balik kepada komuniti,” katanya

Zainol berkata, inisiatif wang saku itu mendorong lebih ramai orang datang menunaikan solat Subuh apabila ibu bapa datang bersama anak-anak mereka.

Ketua biro belia masjid, Khairul Mohd Ali (kiri) bersama penolong bendahari Zainol Amil.

”Secara tidak langsung, program sebegini menggalakkan lebih ramai anak-anak hadir ke masjid untuk menunaikan solat.”

Bagaimanapun, kata Khairul, sumbangan semakin berkurangan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkait Covid-19 dikenakan.

”Sejak PKP, kutipan sumbangan dah berkurangan. Kami ingin dapatkan sumbagan orang ramai (agar program ini dapat diteruskan),” katanya.

Mereka yang ingin membuat sumbangan kepada masjid ini boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 0703 0000 146714 (Masjid Jamek Sungai Gelugor).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.