
Malah menurut Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Rizal Mohamed, kegiatan sindiket penyeludupan barang itu meningkat sejak dua tahun lepas, meskipun ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
Rizal berkata, pasukannya berjaya merampas 7,982 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1,430,251 pada 2020, meningkat kepada 115,526 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM25,985,425 tahun lepas.
“Dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 9,415 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1,833,133 dirampas dengan enam individu ditahan,” katanya.
Menurut Rizal, pelbagai taktik dan modus operandi digunakan sindiket penyeludupan rokok ini bagi mengelirukan pihak berkuasa serta mengelak aktiviti mereka dikesan.
“Sindiket ini tidak takut kerana mereka tahu ‘pulangan’ daripada penyeludupan atau kegiatan haram ini sangat lumayan memandangkan ia masih mendapat permintaan tinggi (daripada pengguna),” katanya.
Beliau berkata, permintaan rokok seludup yang tinggi kerana harga yang murah juga mendorong sindiket itu terus mengambil kesempatan “menjana keuntungan” sehingga kerajaan menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun.
Menurutnya, paling banyak rokok diseludup dari Indonesia dan Thailand dan kadang-kadang, ia terlepas daripada dikesan pihak berkuasa kerana modus operandi sindiket ini biasanya berselindung di sebalik jalan yang sah atau “jalan gajah” di pelabuhan utama.
Rizal berkata, setiap hari terdapat puluhan ribu kotak rokok masuk ke Selangor menggunakan kontena menerusi pelabuhan dan agak sukar untuk mengenal pasti kontena yang mengandungi bahan seludup kerana sudah diisytihar sebagai barang yang sah.
Oleh itu, katanya, kawalan keselamatan di setiap pintu masuk negara, seperti pelabuhan besar, perlu diperketatkan dengan bantuan pelbagai agensi berkaitan bagi menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas.
Justeru, beliau mencadangkan lebih banyak sistem pengimbas dipasang di kawasan pelabuhan bagi mengenal pasti isi kandungan kontena sebelum dibawa keluar selain menambah keanggotaan penguat kuasa bagi memantau kegiatan itu.