
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, tempoh masa perjalanan ke wilayah berkenaan akan menjadi lebih singkat, iaitu sekitar empat jam, berbanding ketika ini sehingga lebih tujuh jam.
“Untuk jalan balik ke pantai timur (perayaan) memang jauh lebih sesak daripada biasa, jadi ini mungkin dapat diselesaikan dengan pembinaan ECRL yang dijangka siap akhir 2026.
“Jadi (dengan ECRL) mereka yang hendak balik ke wilayah sana hanya memerlukan empat jam sahaja dan macam Terengganu dahulu, tiada kereta api tetapi sekarang sudah ada.
“Ini akan membantu rakyat di wilayah-wilayah berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi di Saujana hari ini.
Projek ECRL sepanjang 665km dianggarkan bernilai RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Sementara itu, Wee berkata, situasi hampir di kesemua jalan utama seluruh negara terkawal.
Meskipun berlaku kesesakan di kebanyakan negeri, katanya, namun setakat ini tiada kemalangan dahsyat dilaporkan berlaku.
Beliau berkata, selain daripada menyekat kenderaan berat memasuki jalan utama dan persekutuan, situasi terkawal itu juga didorong oleh pemberian tol percuma serta kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan kerajaan.
“Kita menyekat kenderaan berat di jalan utama dan jalan persekutuan kerana apabila dicampur adukkan kenderaan biasa dan berat ini, orang tidak sabar menunggu, mereka potong dan itu yang akan mengakibatkan kemalangan,” katanya.