
Walaupun keadaan semakin pulih, tidak semua penduduk dapat meraikan Aidilfitri kali ini di kediaman masing-masing dengan sempurna kerana masih ada dalam kalangan mereka belum siap membaiki atau membina semula rumah yang musnah akibat bencana besar itu.

Bagi Jamal Mahfodz, 68, walaupun rumah pusaka ibu bapanya di Kampung Jawa hanya tinggal tangga akibat dibadai bah pada 18 Dis lalu, adik-beradiknya tetap berkumpul di pagi Syawal tahun ini untuk meneruskan tradisi keluarga selain menerima tetamu.
Cuma kali ini agak berbeza apabila ia hanya berbumbung khemah dan berlantaikan batu serta pasir di tapak rumah yang musnah itu.
Jamal berkata, rumah peninggalan didiami kakak sulungnya Rohana, 75, sering dijadikan tempat berkumpul ahli keluarga besar mereka setiap kali Hari Raya sejak lebih 30 tahun lalu yang kini memasuki generasi keempat.

“Raya tahun ini kami tiada rumah tetapi tetap berkumpul adik-beradik sebagai meneruskan tradisi dan menerima tetamu. Bagi menggantikan rumah dihanyut banjir, kami sediakan dua khemah untuk hidangan dan tempat makan.
“Ini tradisi keluarga kami lapan beradik. Sehingga kini ahli keluarga yang berdaftar seramai lebih 50 orang. Keluarga sebelah emak tinggal sekitar Lembah Klang dan mereka akan datang pada Hari Raya pertama,” katanya kepada FMT.
Katanya, tragedi melenyapkan rumah tinggalan ibu bapanya yang dibina pada 1969 itu sehingga kini menghantui keluarganya dan mereka masih trauma dengan apa berlaku.

“Rumah ini adalah kenangan…kami adik-beradik membesar di sini. Saya amat merasakan kehilangan (rumah). Bagaimanapun perasaan sedih itu terubat apabila kami sekeluarga meneruskan tradisi berkumpul setiap kali raya,” katanya.
Jamal memaklumkan proses membina semula rumah itu hasil sumbangan diterima keluarganya daripada pelbagai pihak baru bermula dan dijangka siap empat bulan lagi.
“Bantuan diterima daripada individu, pertubuhan, NGO, kerajaan pusat dan negeri. Semua hasil sumbangan akan digunakan sepenuhnya untuk membina semula rumah pusaka ini.
“Kami berterima kasih kepada pihak yang prihatin,” katanya.