28 maut akibat kemalangan jalan raya pada hari pertama Syawal

28 maut akibat kemalangan jalan raya pada hari pertama Syawal

Polis berkata 19 kes melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

KUALA LUMPUR:
Sebanyak 28 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya pada hari pertama Aidilfitri semalam, dengan 19 kes melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Timbalan Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata enam kematian lagi membabitkan pemandu dan penumpang kereta, dua pejalan kaki, dan seorang pemandu jip.

“Angka kematian semalam merupakan yang tertinggi direkodkan sejak Op Selamat 18 dilancarkan pada 29 April lepas, berbanding 10 kematian pada 29 April, 18 kematian pada 30 April dan 20 kematian pada 1 Mei,” katanya kepada Bernama.

Secara keseluruhan 76 kematian direkodkan sejak operasi itu dilancarkan sehingga semalam, dengan Selangor merekodkan kes kemalangan maut tertinggi dengan 10 kematian, diikuti Pahang (sembilan) dan Kelantan (lapan).

“Sebanyak 29 kematian direkodkan akibat kemalangan maut yang berlaku di jalan persekutuan, jalan negeri (21), jalan bandaran (9), lebuh raya (7), dan lain-lain jalan (10),” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 6,932 kemalangan dicatatkan pada Op Selamat 18 dengan 1,650 kes di Selangor, diikuti Johor (920), Kuala Lumpur (688), Perak (674), dan Pulau Pinang (597).

“Jalan bandaran merekodkan kemalangan tertinggi sebanyak 2,925 kes, jalan Persekutuan (1,401), jalan negeri (1,307), lebuh raya (731) dan lain-lain jalan 568 kes,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 211,235 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dengan 81,753 saman kerana memandu melebihi had laju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.