
Gandingan yang diberi julukan “Patatimo Boys” itu mengakui sedih tidak dapat pulang ke kampung di pantai timur kerana sedang mengikuti kem latihan menerusi konsep gelembung sukan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Namun, mereka bertekad memastikan pengorbanan tidak dapat beraya bersama keluarga buat kali kedua berturut-turut, selepas menyambut hari lebaran di perantauan ketika bertanding dalam siri kejohanan Eropah tahun lalu, mampu dibalas dengan kejayaan di Hanoi nanti.
“Memang ada rasa sedih, terharu semua, tetapi kami ambil sebagai tanggungjawab dan amanah demi negara untuk bawa nama Malaysia di Sukan SEA,” katanya menurut laporan Bernama.
“Jadi kalau boleh, kita nak emas di bulan yang mulia ini, kalau ada rezeki, emas bagi kedua-dua acara berpasukan lelaki dan beregu lelaki,” kata pemain yang berasal dari Kelantan itu.
Pemain berusia 19 tahun yang menduduki ranking dunia ke-79 itu berkata, ketupat dan roti jala adalah kegemarannya pada Aidilfitri.
Wan Arif, 19, pula teruja kerana bakal beraksi buat julung kali di temasya besar seperti Sukan SEA, namun mengakui bakal menghadapi cabaran besar menentang pesaing dari luar negara.
“Nak kata negara lain hantar barisan kedua, tidak juga kerana pemain muda Indonesia (seperti Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan) sudah pun menduduki ranking dunia ke-20 dan 22.
“Kami berharap undian cantik untuk kami nanti, insya Allah kalau ada rezeki dan tuah, laluan kami lebih mudah. Bagi keluarga dan rakan-rakan, Selamat Hari Raya Aidilfitri, insya Allah jumpa selepas raya dengan kejayaan pingat,” kata pemain kelahiran Terengganu itu.
Katanya, beliau selalunya membuat panggilan video dengan keluarganya di pagi raya, sekiranya tidak dapat meraikan hari lebaran itu bersama keluarga.
Gandingan “Patatimo Boys” dijangka terus berlatih di ABM sehingga berlepas ke Hanoi pada 14 Mei nanti, dengan acara berpasukan dijadualkan membuka tirai dua hari selepas itu.