Khutbah Aidilfitri tekan kawalan kendiri elak jangkitan Covid-19

Khutbah Aidilfitri tekan kawalan kendiri elak jangkitan Covid-19

Khutbah itu turut menyarankan umat Islam melengkapkan vaksin dan dos penggalak bagi kanak-kanak untuk mengurangkan risiko lebih teruk.

Ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya tanpa penjarakan fizikal hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Khutbah Aidilfitri tahun ini menekankan kepentingan umat Islam melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan penularan Covid-19 ketika menziarahi sanak saudara.

Berita Harian melaporkan khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk “Kemenangan Membawa Keredhaan” itu turut menyarankan umat Islam melengkapkan vaksin dan dos penggalak bagi kanak-kanak untuk mengurangkan risiko lebih teruk.

“Pandemik yang melanda sejak dua tahun lalu menyebabkan kita meraikan Aidilfitri secara sederhana dalam suasana pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak.

“Alhamdulillah, pada tahun ini, kita dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan saudara-mara, malah amalan berziarah sememangnya amat dianjurkan dalam Islam kerana ia dapat memperbaiki dan memelihara silaturahim sesama insan.

“Justeru, ziarahilah keluarga, saudara-mara dan kenalan kita sempena hari raya ini dengan melakukan kawalan kendiri,” menurut khutbah itu yang dibacakan semua iman di seluruh negara.

Menurut khutbah itu, Aidilfitri adalah hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam dengan cara dan panduan sesuai syariat.

Oleh itu, ia wajar diraikan dengan kegembiraan asal tetap mematuhi batas sempadan ditetapkan Allah, jangan dicemari perkara maksiat, menjaga adab Islam dalam pergaulan lelaki dan perempuan serta mengelakkan pembaziran.

“Marilah kita memperbaiki hubungan persaudaraan, perbezaan diketepikan bagi mewujudkan umat Islam yang lebih kuat dan dihormati.

“Jika ada saudara atau sahabat masih bersengketa, maka jadilah pendamai dan bukan batu api yang malah menyimbah minyak pada bara yang sedang menyala.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.