Azizulhasni patut jalani ujian MRI lebih awal, kata ketua perubatan Majlis Olimpik

Azizulhasni patut jalani ujian MRI lebih awal, kata ketua perubatan Majlis Olimpik

Tiada tindakan diambil meskipun terdapat aduan tentang beberapa simptom berkaitan jantung dialami atlet berbasikal negara itu, kata Dr SS Cheema.

Azizulhasni baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Majlis Olimpik Malaysia Dr SS Cheema mempersoalkan mengapa atlet berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang tidak dinasihatkan untuk menjalani saringan pengimejan resonans magnetik (MRI) oleh pakar perubatan.

Beliau berkata, tiada tindakan diambil meskipun terdapat aduan tentang beberapa simptom berkaitan jantung dialami atlet itu.

“Pada peringkatnya, seorang atlet berprestasi tinggi, aduan mengenai simptom-simptom seperti berasa mengantuk, kesakitan (pada dada) adalah agak biasa, jadi mungkin kerana itu, tiada tindakan lanjut diambil.

“Jika imbasan CT atau MRI dijalankan dengan baik, keadaan itu sepatutnya dapat dikesan,” ulas beliau semasa sidang media secara dalam talian mengenai situasi kesihatan Azizulhasni semalam.

Azizulhasni, 34, mengumumkan bahawa beliau semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung terbuka bagi masalah yang jarang dijumpai dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi yang janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April.

Penyakit berbahaya itu membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Beliau menjelaskan keadaan kesihatannya itu hanya boleh dikesan menerusi ujian canggih, dan ujian elektrokardiogram (ECG), ekokardiogram dan angiogram koronari CT terdahulu gagal mengesan masalah tersebut.

“Saya sangat bertuah kerana selepas itu saya melakukan MRI yang mengesan penyakit tersebut,” katanya.

“Saya ketika itu sangat sihat, tidak mempunyai sebarang isu jantung, saya menyertai pertandingan dan menjalani latihan, tetapi saya cuma rasa tidak selesa pada dada, jadi saya fikir ia adalah normal untuk seorang atlet kerana kami melakukan latihan peringkat tinggi.

“Saya ingin menasihatkan semua, sama ada individu biasa atau seorang atlet, kita semua perlu melakukan saringan kesihatan penuh bagi memastikan kita tidak mempunyai isu lain.

“Saya rasa ia sangat penting untuk semua atlet melakukan pemeriksaan lengkap bagi memastikan mereka tidak mempunyai penyakit jarang jumpa ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, laman media sosial atlet Olimpik itu dibanjiri pesanan daripada para peminat dan mereka yang mendoakan beliau.

Pada sambutan Aidilfitri tahun lepas, arena sukan negara dikejutkan dengan kematian mengejut pemanah kebangsaan Haziq Kamaruddin akibat komplikasi saluran darah jantung tersumbat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.