3 tahun selepas serangan ketuanan orang putih anti-Islam, semangat Rahimi kian pulih

3 tahun selepas serangan ketuanan orang putih anti-Islam, semangat Rahimi kian pulih

Rahimi Ahmad dari Pulau Pinang lumpuh selepas ditembak pengikut fahaman ketuanan orang putih dan anti-Islam di New Zealand pada 2019.

Rahimi Ahmad bersama isteri, Nor Azila Abd Wahid, yang menjadi pendukung utama pemulihan beliau.
PETALING JAYA:
Masih jelas dalam ingatan dia terpaksa berpura-pura ‘mati’ demi menyelamatkan diri dalam serangan pengikut fahaman ketuanan orang putih dan anti-Islam, di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand, tiga tahun lalu.

Dalam kejadian pada 15 Mac 2019 itu, Rahimi Ahmad, 42, yang berasal dari Kampung Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang, melihat sendiri mayat bergelimpangan berhampirannya, akibat ditembak Brenton Harrison Tarrant.

Seramai 44 orang maut dalam serangan di Masjid Al-Noor, dan 35 lagi cedera. Serangan kedua di Pusat Islam Linwood menyaksikan tujuh terkorban dan lima cedera.

Usia mangsa antara tiga tahun hingga 77 tahun.

Rahimi Ahmad bersama dua anaknya beriadah. Rahimi bergantung kepada kerusi roda sepenuhnya ketika melakukan aktiviti di luar rumah.

“Hidup saya dan keluarga berubah sepenuhnya selepas itu. Aidilfitri tidak disambut dengan meriah,” katanya kepada FMT, mengimbau sambutan Aidifiltri selepas peristiwa hitam itu.

Kehidupan Rahimi berubah sepenuhnya kerana kaki kanannya lumpuh manakala kaki kirinya sering sakit-sakit akibat serpihan peluru, yang menjejaskan saraf tunjang, buah pinggang, dan pundi kencing.

Bekas pekerja kilang penggredan susu itu terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak mampu berdiri terlalu lama.

Anak sulungnya, Ahmad Razif, 14, yang bersamanya ketika kejadian, masih trauma dan sehingga kini perlu menjalani kaunseling.

Imbasan gambar kesan peluru yang menjejaskan saraf tunjang, buah pinggang, dan pundi kencing Rahimi.

Isterinya, Nor Azila Abd Wahid, terpaksa menolak tawaran kerja di Universiti Canterbury, Christchurch, kerana mahu menumpukan masa mengurus keluarga sambil mengusahakan perniagaan makanan Malaysia pada hujung minggu, menerusi Warung Akak.

“Ketika sambutan Hari Raya 2019, saya dalam proses dibenarkan keluar hospital dan menjalani terapi pergerakan. Begitu juga pada 2020 dan 2021.

“Ia berbeza ketika saya mula berpindah ke sini pada 2014. Ketika itu kami sempat membuat kuih raya dan menyediakan juadah seperti nasi impit serta lemang. Hujung minggu pula pergi beraya di rumah rakyat Malaysia di Christchurch,” kata Rahimi.

Isteri tulang belakang

Kini semangatnya semakin pulih dan mula mendapat kekuatan untuk bergerak selain mampu mengurus sebahagian keperluan diri.

“Isteri menjadi tulang belakang saya. Tanpanya sukar untuk saya dan anak-anak pulih. Selepas hilang upaya, isteri yang menguruskan keluarga,” katanya.

Rahimi ketika menjalani fisioterapi di Laura Fergusson Brain Injury Trust.

Nor Azila pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan bioperubatan di Universiti Canterbury, sebuah universiti penyelidikan. Dia menamatkan pengajian sehari sebelum tragedi berdarah itu.

Sempena Syawal kali ini, keluarga itu menempah baju raya daripada tukang jahit di Masjid India, Kuala Lumpur dan dikirim terus kepada mereka.

“Tahun lalu anak-anak pakai baju biasa sahaja, tetapi kali ini kami mula membuat kuih raya sendiri dan anak-anak pula memasang lampu hiasan.

Rahimi dikunjungi Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dan Putera British, William, ketika di Hospital Burwood.

“Kali ini kami ingin meraikannya dengan meriah, selepas tiga tahun (serangan di Masjid Al-Noor). Kini semangat kami pulih,” kata Rahimi.

Tarrant kini meringkuk di unit kawalan paling ketat di Penjara Auckland. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Christchurch atas 92 pertuduhan.

Rahimi dan keluarga bersyukur kerana banyak pihak memberikan sokongan, khususnya kerajaan New Zealand, ketika menjalani rawatan di Hospital Burwood, Christchurch.

Putera British, William, turut mengunjunginya.

“Apa yang berlaku kepada kami semuanya ada hikmah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.