Semakin ramai pasang dashcam sejak kes kemalangan, penipuan tular

Semakin ramai pasang dashcam sejak kes kemalangan, penipuan tular

Pemilik kedai aksesori kereta KWL Audio & Accessories berkata bilangan pelanggan yang memasang kamera papan pemuka (dashcam) semakin bertambah, susulan liputan meluas isu kemalangan di jalan raya.

Permintaan untuk memasang kamera papan pemuka meningkat berkali ganda menjelang hari raya, yang bakal menyaksikan jutaan kenderaan berada atas jalan.
PETALING JAYA:
Permintaan untuk kamera papan pemuka (dashcam) dipercayai semakin bertambah, menurut pengusaha aksesori kereta, susulan liputan meluas isu kemalangan dan penipuan di jalan raya mutakhir ini.

Pemilik KWL Audio & Accessories, yang hanya mahu dikenali sebagai Nicson, 35, berkata bilangan pelanggan yang memasang peranti itu di kedainya meningkat sebanyak 30%-40% tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Dari kejadian basikal lajak dan kemalangan palsu kononnya dilanggar kereta yang tular di media sosial baru-baru ini, semakin ramai orang menyedari kepentingan ‘dashcam’ dalam melindungi diri,” katanya kepada FMT.

Tonton video di sini.

Menurut Nicson, permintaan untuk memasang peranti itu meningkat berkali ganda menjelang hari raya, yang bakal menyaksikan jutaan kenderaan berada di atas jalan.

Katanya, pelanggan memberitahunya pemasangan peranti itu menjadi keperluan kini sebagai langkah keselamatan, selain servis kenderaan dan menukar tayar.

“Rugilah mereka sebab tiada sebarang bahan bukti untuk membela diri pada masa akan datang, nak tuntut insurans pun susah,” katanya.

Nicson merujuk kepada video kanak-kanak bermain basikal lajak secara merbahaya di jalan raya yang tular di media sosial.

Turut menarik perhatian warganet adalah video memaparkan seorang individu sengaja melompat ke atas cermin hadapan sebuah kenderaan yang sedang bergerak, seolah-oloah terbabit kemalangan.

Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh, menggalakkan para pengguna yang berkemampuan memasang kamera papan muka bagi memudahkan urusan tuntutan hak.

“Pada masa yang sama juga memudahkan pihak penguatkuasa untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan raya dengan cepat dan tepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.