
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Amin Anuar, yang mewakili guru berkenaan, berkata anak guamnya belum menerima sebarang maklumat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), namun yakin akan ada perkembangan positif berdasarkan kenyataan Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin Khamis lalu.
“Kalau ikutkan pengumuman KPM berkenaan, anak guam saya sudah boleh bekerja seperti biasa. Mungkin (ada kelewatan kerana) mereka sedang menunggu pengumuman terkini Garis Panduan Pengoperasian 4.0 (GP 4.0).
“Kami juga berharap Mahkamah Tinggi Shah Alam akan membenarkan permohonan semakan kehakiman yang telah kami failkan sebelum ini untuk membantah dan mengenepikan pekeliling tarikh 18 Oktober 2021, yang mengandungi diskriminasi buat penjawat awak berhubung pengambilan vaksin,” kata Amin kepada FMT.
Tiga hari lalu, Radzi mengumumkan guru yang tidak divaksin akan dibenarkan mengajar secara bersemuka setelah dilarang berbuat demikian sejak Okt.
Beliau berkata, di bawah dasar terbaharu, mereka juga bebas berada di bilik guru seperti mana guru yang telah divaksin.
FMT sebelum ini melaporkan anak guam Muhammad Amin – seorang guru berpengalaman 15 tahun dan berprestasi cemerlang – didakwa mendapat layanan tidak sepatutnya daripada pengetua sekolahnya di Ipoh dan PPD Kinta Utara, kerana enggan divaksin.
Amin berkata mereka bertindak demikian meskipun doktor memberikan surat pengecualian vaksin dan laporan perubatan mengatakan anak guamnya mengalami alahan teruk terhadap pelbagai makanan dan ubatan.
Justeru, pengambilan vaksin akan membawa risiko tinggi kepada kesihatannya.
Bagaimanapun, guru berkenaan diasingkan di bilik stor sekolah sebelum ditempatkan di Pusat Kegiatan Guru (PKG).
Beliau dibenarkan mengendalikan kelas dalam talian untuk seketika namun “pintu mengajar” tutup sama sekali apabila sesi persekolahan dikendalikan sepenuhnya menerusi kelas bersemuka mulai Mac.
Amin berkata pihaknya sudah menghantar surat tuntutan (letter of demand) kepada pengetua sekolah yang didakwa bertanggungjawab atas pelbagai bentuk diskriminasi terhadap anak guamnya.
“Berkenaan notis tuntutan itu, kita akan bincang sama ada akan diteruskan atau tidak,” katanya.