SOP MySejahtera baharu mengarut, kata pemimpin kumpulan perniagaan

SOP MySejahtera baharu mengarut, kata pemimpin kumpulan perniagaan

Kumpulan perniagaan berkata mereka tidak tahu bagaimana melaksanakannya dan mungkin terdapat risiko orang ramai memalsukan status MySejahtera untuk masuk ke premis.

Pemilik premis perlu menyemak status risiko pengunjung di aplikasi MySejahtera bermula 1 Mei.
PETALING JAYA:
Sebilangan pemilik perniagaan membantah langkah kerajaan yang mahu mereka menyemak status risiko pengunjung di aplikasi MySejahtera bermula 1 Mei apabila syarat daftar masuk tidak lagi terpakai kepada semua individu.

Rabu lalu, ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga berkata, pemilik premis perlu menyemak status risiko pengunjung di aplikasi MySejahtera dan tidak membenarkan individu dengan status “High Risk”, iaitu kes positif Covid-19 dan yang berada dalam tempoh kuarantin daripada memasuki premis.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, keputusan kerajaan itu adalah “SOP paling mengarut” dan mungkin mendapat tentangan apabila orang ramai tidak membenarkan telefon mereka diperiksa.

Beliau yang turut memimpin Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Peruncit Bumiputera dan Persatuan Perniagaan Persekutuan Malaysia (FMBA) berkata, isu itu kini hangat diperkatakan dalam kalangan peniaga.

“Kami bercakap mengenai perkara ini dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.

“Kita tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya. Ia bukan tanggungjawab pemilik pusat beli-belah untuk risau mengenai orang ramai.”

Beliau berkata, pemilik perniagaan tidak dirujuk sebelum prosedur operasi standard (SOP) itu diumumkan.

Manakala itu dua pemimpin kumpulan perniagaan bercakap mengenai risiko orang ramai memalsukan status MySejahtera mereka untuk masuk ke dalam premis.

Naib Pengerusi FMBA Raymond Woo berkata, orang ramai mungkin menipu dengan menunjukkan tangkapan skrin status risiko rendah.

“Sebagai pemilik kedai, kami akan semak, tetapi tanggungjawab rakyat adalah memainkan peranan mereka,” katanya.

“Sukar untuk perniagaan menyemak sama ada ia daripada aplikasi atau tangkapan skrin.”

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia Chin Chee Seong berkata, segelintir individu mungkin tidak mengemas kini status MySejahtera jika mereka positif.

“Ia menjadi semakin teruk. Sebelum ini individu hanya perlu mengimbas telefon mereka untuk daftar masuk. Kini mereka perlu menunjukkan telefon untuk masuk ke dalam premis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.