MIC mahu tampil calon India Muslim pada PRU15, kata presiden

MIC mahu tampil calon India Muslim pada PRU15, kata presiden

MIC bersedia menampilkan calon India Muslim di kerusi tertentu terutama di kawasan tradisinya.

Presiden MIC S A Vigneswaran, berkata keputusan untuk menampilkan calon India Muslim sudah dibincangkan dengan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu, baru-baru ini. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
MIC bersedia menampilkan calon India Muslim pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika diperlukan.

Presiden MIC, S A Vigneswaran, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat parti, baru-baru ini.

“Kita memang tiada masalah. Jika ada tempat yang kita mempunyai tekanan, harus ada calon Islam atas sebab-sebab tertentu, kita bersedia kerana kita ada calon India Muslim yang boleh bertanding.

“Asalkan kerusi (tradisi) MIC ini kita yang bertanding dan kita yang buat keputusan siapa yang bertanding,” katanya menurut laporan Bernama.

Vigneswaran turut berikrar selain memastikan hak kaum India, MIC akan terus menjaga dan membela nasib masyarakat India Muslim di negara ini.

Utusan khas perdana menteri ke India dan Asia Selatan itu, berkata parti berusia 76 tahun tersebut tidak pernah meminggirkan masyarakat India Muslim seperti yang didakwa segelintir pihak.

Beliau juga memberi jaminan anak India Muslim akan menerima hak sama rata dalam pemberian biasiswa dan pinjaman Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), entiti milik MIC.

Katanya, beliau juga akan berusaha menyelesaikan isu kewarganegaraan India Muslim yang masih tidak memiliki kad pengenalan.

Menyentuh keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ingin bergerak solo pada PRU15, Vigneswaran berkata, setakat ini, MIC bersetuju, malah sedia menerima kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya itu, jika ada yang berhasrat menyertai BN.

Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen, iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Parti itu hanya memenangi dua kerusi Parlimen, iaitu Tapah dan Cameron Highlands. Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak sah dan terbatal, selepas terbukti wujud amalan rasuah.

Kerusi itu kemudian diserahkan kepada Umno pada pilihan raya kecil dan akhirnya parti komponen BN itu berjaya memenanginya kembali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.