
Azizah Nawawi, yang menyampaikan keputusan panel tiga hakim itu, berkata tiada unsur penipuan, konspirasi, salah laku dan penyalahgunaan proses dalam kes itu seperti yang didakwa Deepak, J Rajesh dan Radiant Splendor Sdn Bhd.
Panel itu, yang turut terdiri daripada S Nantha Balan dan See Mee Chun, memerintahkan dua beradik itu serta syarikat mereka membayar kos berjumlah RM80,000.
Deepak, Rajesh dan Radiant Splendor yang diwakili peguam V Sham Sunder, merayu saman mereka dihidupkan semula serta dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Saman mereka dibatalkan Hakim Mahkamah Tinggi, Azimah Omar pada 13 Jan 2020, selepas beliau membenarkan permohonan Najib, Rosmah, bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim, adik lelaki Najib, iaitu Ahmad Johari Razak dan bekas pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Shukry Mohd Salleh.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 12 Sept 2018, semua plaintif mendakwa Najib bertindak di luar batasan serta menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan Bank Kerjasama Rakyat Berhad memfailkan pelbagai tindakan guaman terhadap mereka, terutama kepada plaintif kedua, Deepak.
Deepak mendakwa ia bagi menghalangnya daripada memberi keterangan lisan secara jujur ketika perbicaraan kes sivil berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu membabitkan Najib, Rosmah dan Johari.
Plaintif juga mendakwa terdapat perjanjian bertarikh 24 Julai 2008 dengan Bank Kerjasama Rakyat Berhad atas arahan Shukry, yang bersetuju memberi dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang sehingga RM198,888,750 dan sebagai balasan, mereka perlu menyerahkan hak mutlak serta kepentingan terhadap 80 unit pangsapuri dalam pembangunan, iaitu Kondominium Palazzio Tower B.
Plaintif mendakwa semua defendan melakukan tort konspirasi, penipuan, penyalahgunaan proses dan/atau perlakuan yang tidak mengikut undang-undang dalam mencapai perjanjian penyelesaian tersebut.
Plaintif juga mendakwa semua defendan berkonspirasi dalam menyebabkan kerugian terhadap mereka, dan memohon setiap defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teladan RM2.6 juta dan ganti rugi berpanjangan.
Dalam penghakimannya, Azizah yang mempengerusikan panel itu, berkata tiada butiran yang mengaitkan Najib dan Rosmah dengan dakwaan bahawa perayu adalah proksi mereka atau bagaimana Najib dan Rosmah mendapat manfaat daripada perancangan membabitkan hartanah tersebut.
Beliau berkata, tiada kaitan antara Azeez, Johari dan Shukry dengan dakwaan tort konspirasi, penipuan, salah laku serta penyalahgunaan proses.
Pada prosiding dalam talian hari ini, mahkamah mendengar hujah Sham Sunder dan peguam David Matthews yang mewakili Najib serta Rosmah; Dhinesh Bhaskaran bagi pihak Johari, Porres Royan (Azeez) dan Farah Shuhadah Razali (Shukry).
Semua peguam responden berhujah, rayuan itu hendaklah ditolak kerana saman difailkan terhadap anak guam mereka tidak dapat dipertahankan.
Terdahulu, Sham Sunder turut berhujah anak guamnya adalah proksi Najib serta isterinya dan terlibat dalam urus niaga membabitkan hartanah bagi pihak mereka, sambil menambah kes itu melibatkan isu yang patut dibicarakan.