
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, siasatan berkaitan perkara itu berjalan lancar dan hanya menumpukan sekumpulan pemain industri ayam susulan tingkah laku mereka mungkin menimbulkan isu persaingan tertentu mengikut Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.
“Anggapan bahawa MyCC sedang menyiasat ahli politik tertentu adalah spekulasi semata-mata,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau berkata, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi “kartel” mengikut Akta Persaingan 2010.
“Kartel dibentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing dalam pasaran sama. Sebelum mana-mana kartel boleh dibentuk, perlu ada sekurang-kurangnya dua pesaing yang bersetuju bersekongkol untuk tidak bersaing dalam pasaran berkaitan.
“Biasanya, kumpulan pesaing ini telah bersetuju, antara lain, untuk menetapkan harga produk mereka pada harga sama atau membahagikan pasaran atau mengehadkan pengeluaran mereka.”
Beliau berkata, kartel bukanlah monopoli dan begitu juga sebaliknya dengan monopoli adalah satu perusahaan yang mempunyai kawalan sepenuhnya dalam sesuatu pasaran produk atau perkhidmatan.
“Jika terdapat lebih daripada seorang pemain dalam pasaran tersebut, satu atau lebih daripada satu perusahaan boleh berada dalam kedudukan dominan jika mereka memegang lebih kurang 60% pasaran. Oleh itu, percubaan untuk menyamakan kartel dan monopoli sebagai konsep sama adalah salah sama sekali.”
Sehubungan itu katanya, MyCC berharap orang ramai dan media memahami kerumitan siasatan yang melibatkan ramai pemain dalam rantaian bekalan luas dengan pelbagai subsektor.
“Penyiasatan teliti dan terperinci diperlukan dan ia mungkin mengambil masa. Kami menggalakkan pihak yang percaya mereka terlibat dalam amalan kartel dalam industri ayam datang ke MyCC untuk memohon kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010 sebelum mereka disiasat.”
Beliau turut menggesa semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi bagi mengelakkan gangguan terhadap penyiasatan MyCC dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
MyCC turut menggalakkan perusahaan, pihak berkepentingan berkaitan dan orang ramai untuk tampil membantu MyCC dengan menghubungi 03-2273 2277 (IED) atau e-mel di [email protected].
Media sebelum ini melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.
Menurut laporan itu, kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70% daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari.