Laporan akhir RCI TH dijangka selesai Julai, kata menteri

Laporan akhir RCI TH dijangka selesai Julai, kata menteri

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RCI itu mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali sejak ditubuhkan pada 21 Jan 2022.

RCI sudah memanggil 43 saksi sehingga Selasa lalu bagi mendapat gambaran dan situasi kedudukan organisasi, pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji sejak 2014 hingga 2020.
KUALA LUMPUR:
Laporan akhir hasil siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka selesai Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RCI bagi siasatan isu TH yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali sejak penubuhannya pada 21 Jan 2022.

“Sehingga 26 April 2022, RCI ini telah mengenal pasti dan memanggil pelbagai agensi yang boleh membantu siasatan bagi mendapat gambaran dan situasi berkaitan kedudukan organisasi, pengurusan dan operasi TH bermula 2014 hingga 2020.

“Selain itu, 43 saksi dipanggil untuk merakam keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Okt 2021.

Ia ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Agong dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.