
Lantikan sementara ini dikatakan “untuk memudahkan urusan di kawasan pembangkang terutama dalam aspek pengagihan bantuan”.
Bagaimanapun ADUN PH dan MUDA berkata, pengagihan bantuan tidak perlu dibuat melalui penyelarasan BN.
“Urusan pengagihan bantuan yang disebut oleh menteri besar itu patut dijalankan oleh ADUN pembangkang yang dipilih oleh rakyat di setiap kawasan dan tidak perlu melalui penyelaras BN.
“Kami yakin semua wakil rakyat mampu mengendalikan pengagihan bantuan.
“Penyelaras BN mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk bekerjasama dengan ADUN pembangkang, bukannya melangkaui peranan ADUN pilihan rakyat,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Kata mereka lagi, atas prinsip dan semangat dwipartisan, semua kemudahan dan jemputan ke majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan kepada penyelaras BN harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada ADUN pembangkang.
Mereka mencadangkan agar semua ADUN pembangkang di Johor dibolehkan menyertai Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) dan majlis-majlis rasmi negeri.
Kerajaan negeri turut disarankan membentangkan rancangan suku tahun penyelaras BN bagi tujuan penyelarasan dengan ADUN pembangkang.
“Ini bagi memudahkan kerjasama antara penyelaras BN dengan ADUN pembangkang dalam hal pembangunan dan kebajikan negeri,” kata mereka.
“Ini juga selaras dengan hasrat ADUN PH dan MUDA untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik dan memberikan khidmat terbaik kepada (rakyat) yang telah memilih semua ADUN pada pilihan raya negeri Johor yang lalu.”
Menurut ADUN PH dan MUDA, sebelum ini tular sepucuk surat yang menyatakan bahawa menteri besar Johor telah melantik 16 pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Khas Dewan Undangan Negeri (JKPD) dalam kalangan ahli politik BN berkuat kuasa pada 26 April 2022.