
Kementerian Kewangan mengumumkan Syed Zaid Albar, menghantar surat peletakan jawatannya dan tarikh akhir perkhidmatannya pada 31 Mei.
Kementerian itu turut mengumumkan pelantikan Awang Adek Hussin, sebagai pengerusi eksekutif SC, bermula 1 Jun hingga 31 Mei 2025.
“Kedua-dua perdana menteri dan peguam negara perlu memberi penjelasan penuh mengenai peletakan mengejut Syed Zaid dan penggantian segeranya dengan seorang ahli Umno,” kata Lim dalam kenyataan.
Katanya, kerajaan mesti bertindak pantas memastikan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia dijalankan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi diuruskan secara profesional, bebas, cekap dengan mematuhi sepenuhnya ketelusan dan menghormati kedaulatan undang-undang bebas daripada sebarang campur tangan politik.
Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata, peletakan Syed Zaid dilaporkan berkait dengan pertembungan berhubung keputusan kontroversi peguam negara untuk menarik balik pertuduhan jenayah terhadap syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Serba Dinamik Holdings Bhd, dan empat eksekutif kanannya.
Pada Ahad, dilaporkan SC membuat laporan polis terhadap Serba Dinamik atas dakwaan menuduhnya bertindak dengan niat jahat dan tidak mengikut prosedur dalam melaksanakan tugasnya.
Katanya, kandungan pengumuman Serba Dinamik mungkin mempunyai kesan yang mengelirukan orang ramai dan/atau menimbulkan imej yang negatif terhadap SC dan pegawainya.
Awal bulan ini, SC mengenakan denda maksimum berjumlah RM3 juta terhadap setiap seorang pegawai Serba Dinamik membabitkan ketua pegawai eksekutif, pengarah eksekutif dan dua pegawai kerana menghantar penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, Serba Dinamik mempersoalkan motif SC mengenakan tuduhan terhadap syarikat itu.
Susulan representasi Serba Dinamik kepada Jabatan Peguam Negara, peguam negara, pada 7 April bersetuju dengan denda terhadap semua tuduhan.