Banjir kilat: Ahli Parlimen gesa moratorium semua cadangan pembangunan

Banjir kilat: Ahli Parlimen gesa moratorium semua cadangan pembangunan

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa langkah itu diambil sementara pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.

Dalam kejadian terbaru pada Isnin lalu, hampir 10 lokasi mengalami banjir di Segambut seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam dan Kampung Masjid Segambut.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa supaya moratorium dilaksanakan ke atas semua cadangan pembangunan termasuk projek MRT3 di kawasannya, sementara menunggu tindakan segera pihak berkuasa dalam menangani isu banjir kilat di ibu negara.

Yeoh berkata, dalam kejadian terbaru pada Isnin lalu, hampir 10 lokasi mengalami banjir di Segambut seperti Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam dan Kampung Masjid Segambut.

“Selepas kali terakhir banjir yang berlaku pada Disember 2021, kami telah mendesak pihak berkuasa untuk mengekalkan semua kolam takungan banjir di Kuala Lumpur dan mengambil tindakan segera seperti menyelenggara sungai, memasang siren pelbagai bahasa dan membuat makluman melalui SMS MKN untuk melindungi penduduk dan mengelakkan kejadian banjir kilat seperti ini berulang.

“Bagaimanapun selepas empat bulan, semua cadangan ini masih tinggal cadangan dan lambat untuk dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, setakat ini, pihak berkuasa hanya menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dan sumber sedia ada bagi menangani jumlah hujan yang luar biasa.

“Semua persoalan yang dibangkitkan mempunyai jawapan yang standard – “menunggu kelulusan reka bentuk lukisan, kontraktor masih belum dilantik atau bergantung kepada kekerapan kerja pembersihan dan penyelenggaraan yang sedia ada”.

“Melakukan perkara yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza hanyalah perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim yang menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan sumber sedia ada untuk mengatasi banjir kilat di Kuala Lumpur.

Selain itu, Yeoh berkata, penduduk di kawasannya mengalami banyak kerugian dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini akibat banjir.

“Banjir yang membawa lumpur tebal memusnahkan rumah dan harta benda mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.