
Tetapi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyeru orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
Bagaimanapun, beliau berkata individu dengan status “High Risk” dalam aplikasi MySejahtera, iaitu kes positif Covid-19 dan individu dalam tempoh kuarantin tidak dibenarkan memasuki semua premis.
Tonton video di sini.
Katanya, pihak pengurusan premis bertanggungjawab menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premis mereka.
“Aplikasi MySejahtera masih penting untuk digunakan, antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan perintah pengawasan dan pemantauan (HSO),” katanya dalam sidang media maya.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan fungsi “Hotspot Tracker” akan diubah sebagai “Infectious Disease Tracker” untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain, iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta denggi.
Beliau menyeru rakyat mengambil peluang menggunakan fungsi ditambah baik itu, terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya di rumah saudara mara atau bercuti.
“Ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi,” tambahnya.
Kelab malam
Khairy mengumumkan kelab malam dibenarkan beroperasi semula mulai 15 Mei ini.
Katanya, semua aktiviti dalam senarai negatif Majlis Keselamatan Negara dibenarkan bermula 15 Mei ini.
Kelab malam, yang tidak dibenarkan beroperasi sejak perintah kawalan pergerakan mula dilaksanakan pada Mac 2020 akibat penjarakan fizikal, adalah satu-satunya premis masih dalam senarai negatif itu.
“Agensi berkaitan sedang membincangkan SOP itu.”