Putrajaya cuba bawa pulang Nagaenthran melalui program pemindahan banduan

Putrajaya cuba bawa pulang Nagaenthran melalui program pemindahan banduan

Wisma Putra berkata, perdana menteri dan menteri luar sekali lagi mengutus surat kepada rakan sejawatan mereka di Singapura meminta hukuman Nagaenthran K Dharmalingam diringankan.

Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas disabitkan bersalah mengedar heroin seberat 42.7g.
PETALING JAYA:
Wisma Putra mendedahkan kerajaan cuba membawa pulang Nagaenthran K Dharmalingam, yang dihukum gantung di Singapura hari ini kerana mengedar dadah, ke Malaysia melalui program pemindahan banduan antarabangsa.

Kementerian Luar berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah sekali lagi mengutus surat kepada rakan sejawatan mereka di Singapura awal minggu ini untuk meminta mereka mempertimbangkan hukuman Nagaenthran diringankan.

“Surat itu turut menyatakan keterbukaan kerajaan Malaysia untuk berbincang dengan kerajaan Singapura bagi melaksanakan program pemindahan banduan antarabangsa antara Malaysia dan Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun kenyataan itu tidak menyatakan jawapan Singapura terhadap cadangan mereka, Wisma Putra berkata, kerajaan menghormati sistem perundangan republik itu dan mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan sepanjang penahanan dan perbicaraan Nagaenthran.

Wisma Putra turut berterima kasih kepada masyarakat sivil dan NGO yang menyokong hukuman mati Nagaenthran dihentikan serta mendesak hukuman mati dimansuhkan.

Nagaenthran, 34, dari Perak, dikatakan mempunyai IQ 69 – tahap yang diiktiraf kurang upaya. Dia dijatuhkan hukuman mati di Singapura sejak 2010 selepas disabitkan bersalah menyeludup 42.7g heroin ke negara itu pada 2009.

November lalu, Ismail menulis surat kepada rakan sejawatannya di Singapura, Lee Hsien Loong, memohon hukuman itu diringankan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mengutus surat kepada Presiden Singapura, Halimah Yacob memohon pengampunan bagi Nagaenthran, dengan Halimah pada Disember lalu berkata, Nagaenthran telah menjalani proses undang-undang sewajarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.