
Cadangan itu disuarakan Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah sebagai respons selepas seorang rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam menjalani hukuman gantung di penjara Changi, Singapura pagi tadi kerana didapati bersalah mengedar dadah ke republik itu.
“Ini merupakan masa terbaik untuk kerajaan mengkaji semula keperluan memansuhkan hukuman mati yang terkandung dalam 33 undang-undang jenayah berat di Malaysia, termasuk 12 yang mewajibkan hukuman itu.
“Sejak merdeka, seramai 469 orang telah menjalani hukuman mati mandatori di Malaysia,” katanya di Facebook.
Mengenai hukuman gantung terhadap Nagaenthran Puah berkata, ia hanyalah kes klasik melibatkan rakyat Malaysia dari kelas sosial bawahan yang dijadikan mangsa keldai dadah.
“Walaupun pada setiap masa, saya menghormati kebebasan dan kedaulatan sistem perundangan Singapura, undang-undang hak semula jadi akan menentukan keadilan perlu disulam dengan belas kasihan.
“Dalam kes Nagaenthran, ia tetap menjalani hukuman itu walaupun banyak rayuan dibuat bagi memohon pengampunan termasuk wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Yang di-Pertuan Agong kepada presiden Singapura,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Nagaenthran disahkan sebagai kurang upaya dari segi intelek, maka sudah pasti ia menyebabkan kes itu mendapat keadilan sewajarnya.
“Orang miskin dan tidak berdaya selama-lamanya terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan mempunyai harapan yang sangat kecil untuk diselamatkan atau ditarik keluar daripada perangkap ini.”
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pernah berusaha mengetengahkan rang undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati dengan mengemukakan beberapa alternatif namun tidak sempat dibentangkan selepas kerajaan itu hanya bertahan 22 bulan sahaja.
Pada Januari, dilaporkan Putrajaya akan memutuskan syor oleh jawatankuasa dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum mengenai perkara itu, dengan laporan berkenaan akan dibawa kepada Kabinet.