Pemergian Saiful bukan masalah besar, kata pemimpin Bersatu

Pemergian Saiful bukan masalah besar, kata pemimpin Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Faiz Na'aman berkata keputusan Saiful Bukhari Azlan meninggalkan parti sedikit pun tidak menjejaskan Bersatu.

Faiz Na’aman berkata, ‘kehadiran’ Saiful Bukhari Azlan dalam Bersatu tidak dirasai pemimpin dan ahlinya.
PETALING JAYA:
Keputusan Saiful Bukhari Azlan yang juga bekas pembantu peribadi presiden PKR meninggalkan Bersatu dilihat bukan masalah besar kepada parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman menegaskan beliau sedikit pun tidak kecewa dengan keputusan Saiful malah menghormatinya, namun turut memberitahu, “kehadirannya” dalam parti tidak dirasai pemimpin dan ahli.

Beliau mengakui Saiful mempunyai alasan tersendiri untuk meninggalkan Bersatu dalam tempoh kurang dua tahun selepas menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Januari 2021.

Tonton video di sini.

“Ada sesetengah orang menyertai parti politik atas sebab peribadi. Saya tidak tahu visi dan jangkaan beliau dalam politik.

“Pemimpin sentiasa datang dan pergi dalam politik. Saiful belum lagi menjadi nama besar dalam arena politik, jadi ia mungkin tidak mencetuskan sebarang fenomena,” katanya kepada FMT.

Faiz ditanya sama ada wujud kebimbangan dengan keluarnya Saiful daripada parti yang boleh menjadi petanda awal penghijrahan ahli Bersatu lain dan juga pemimpinnya menjelang pilihan raya umum (PRU15) akan datang.

Pada 2008, Saiful menuduh Anwar meliwatnya sehingga menyebabkan ahli Parlimen Port Dickson itu dipenjarakan pada 2015.

Beliau mendaftar sebagai ahli seumur hidup Bersatu bahagian Bentong, Pahang tahun lepas.

Pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson 2018, Saiful bertanding sebagai calon bebas. Beliau adalah salah seorang daripada lima calon yang mencabar Anwar untuk kerusi itu, sebelum dimenangi ketua pembangkang tersebut dengan majoriti 23,560 undi.

Saiful hanya berjaya memperoleh 82 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Semalam, Saiful memberi alasan peribadi yang menyebabkan beliau meninggalkan Bersatu dan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.