Klip video kontroversial, Aliff Syukri hadir beri keterangan kepada SKMM

Klip video kontroversial, Aliff Syukri hadir beri keterangan kepada SKMM

Usahawan kosmetik kontroversi, Aliff Syukri Kamarzaman hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada jam 9.58 pagi tadi untuk beri keterangan berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri

Klip video raya itu memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
PETALING JAYA:
Usahawan kosmetik kontroversial, Aliff Syukri Kamarzaman hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pagi tadi untuk memberi keterangan susulan klip video muzik sempena Aidilfitri.

Dia yang tiba pada jam 9.58 pagi itu turut ditemani dua lelaki yang kelihatan di pekarangan bangunan berkenaan.

“Maaf, saya kena masuk ke dalam untuk beri keterangan,” katanya kepada wartawan, menurut laporan Utusan Malaysia.

Tonton video di sini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata, SKMM akan memanggil individu terlibat dalam klip video berkenaan dan mereka telah diberi notis.

Katanya, perkara itu telah diteliti oleh SKMM dan mereka mempunyai sebab untuk melaksanakan siasatan yang dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Klip video raya itu yang memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Annuar turut mengesahkan kementeriannya menerima terlalu banyak aduan, termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri, khususnya Bahagian Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung klip video itu.

Beliau berkata, keresahan itu timbul kerana klip video berkenaan mempunyai unsur tertentu yang bercanggah dengan amalan dan norma masyarakat negara ini.

Sementara itu Kosmo melaporkan, Aliff Syukri memohon maaf kepada semua penonton yang tersinggung dengan video muziknya sebelum ini dan memohon agar tidak melibatkan ahli keluarganya dalam kontroversi tersebut.

Aliff Syukri berkata, dia telah memberikan kerjasama yang baik yang kepada pihak SKMM dan siasatan juga sedang dilakukan oleh suruhanjaya tersebut berhubung kes itu.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada SKMM kerana memberi layanan yang baik kepada saya dan saya memohon maaf kepada masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya sebelum ini.

“Namun saya mohon jangan lah libatkan keluarga saya dan ibu saya dalam kontroversi ini, lebih-lebih lagi dia (ibu) kini sedang menunaikan ibadah umrah,” katanya ringkas ketika ditemui di Ibu Pejabat SKMM di sini hari ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.