
Pengerusinya, M Ali bertanya sama ada DBKL sememangnya membuat kajian mengenai mitigasi banjir seperti yang didakwanya.
Semalam, beberapa kawasan di Kuala Lumpur, termasuk Jalan Travers, Jalan Kuching dan Jalan Ampang, ditenggelami banjir.
Tonton video di sini.
Merujuk kepada laporan berita tentang DBKL menjalankan kajian untuk mengurangkan atau menangani banjir kilat di Kuala Lumpur dari 2020 hingga 2022, Ali bertanya: “Jika mereka telah buat kajian mengenai pencegahan banjir, mengapa tidak memuat naiknya di laman sesawang DBKL untuk dikongsi dengan orang ramai?
Lagipun katanya, DBKL menggunakan dana awam untuk menjalankan kajian dan mengambil langkah mitigasi.
“Malah pada taklimat beberapa tahun lepas mengenai inisiatif mitigasi banjir di tapak Taman Tasik Perdana KL, kami bertanya sama ada inisiatif itu akan merangkumi jalan-jalan dari Jalan Travers ke Jalan Rakyat atau Jalan Mahameru, tetapi kami dimaklumkan ia berada di luar skop pelan itu,” katanya.
Kerajaan sentiasa berslogan tentang “ketelusan” dan “keterbukaan”, katanya, “tetapi berslogan tidak cukup, mesti ada hasil yang boleh disampaikan.”
Beliau berkata, DBKL perlu berfikir secara serius untuk mengadakan libat urus berterusan dengan orang ramai.
Sementara itu, orang ramai menerusi media sosial mempersoalkan DBKL mengenai dakwaan kajian yang dijalankan untuk mengurangkan atau menangani banjir kilat di Kuala Lumpur.
Pengguna Twitter, @iamkanahraf mempersoalkan kemajuan mesyuarat untuk menaik taraf sistem amaran dan mitigasi banjir yang disebut oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias pada Mac.
Sementara itu, @blurredfrank berkata, banjir kilat makin kerap berlaku, tetapi DBKL tidak berbuat apa-apa untuk mencegahnya.
“Adakah DBKL tak akan ambil tindakan berhubung banjir sebegini?” soal @bijubtrbjokin.
FMT telah menghubungi DBKL untuk mendapatkan komen.