Kerajaan tambah baik pemberian kepada negeri termasuk penggunaan Marris

Kerajaan tambah baik pemberian kepada negeri termasuk penggunaan Marris

Penambahbaikan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2022 dipengerusikan perdana menteri dan dihadiri menteri besar serta wakil ketua menteri semua negeri.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri berada pada tahap terbaik.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan persekutuan telah menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri untuk tahun ini termasuk memberi kelonggaran penggunaan peruntukan bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian Marris) sebanyak RM5 bilion.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, penambahbaikan pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2022 yang dipengerusikan olehnya dan dihadiri menteri besar serta wakil ketua menteri semua negeri.

Beliau berkata, kelonggaran penggunaan peruntukan bawah Pemberian Marris itu adalah bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri pada setiap tahun,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian Marris serta bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan supaya peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan memperluaskan lagi skop perbelanjaan Marris merangkumi penyelenggaraan jalan seperti bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

Selain itu, beliau berkata, peruntukan pindahan fiskal ekologi (EFT) akan ditingkatkan daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

“Insentif kewangan kepada kerajaan negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin,” katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia, perdana menteri berkata, caruman sebanyak RM330 juta disediakan bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian Tahap).

Beliau berkata, satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan akan ditubuhkan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian Tahap.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing,” katanya.

Ismail berharap kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya kesemua pemberian itu terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.