
Beliau berkata, laporan terperinci diperlukan dalam menentukan kesahihan dakwaan penglibatan mana-mana pihak dalam isu berkenaan.
“Isu ini bukan perkara mudah, siasatan terperinci diperlukan, baru boleh dipastikan. Kalau ada orang terlibat ia memerlukan siasatan yang rapi, tidak boleh terlalu cepat kata ada kartel,” katanya memetik laporan Bernama.
“Saya tidak menafikan dan juga tidak mengesahkan (isu kartel), lebih baik tunggu laporan MyCC. Apabila siasatan siap, bukan hanya melibatkan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tetapi kementerian lain juga kerana ia berkaitan bekalan dan sebagainya,” katanya.
Beberapa media tempatan, hari ini, melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.
Laporan media berkenaan turut mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70% daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari.