
Ketua Pengarahnya Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya memandang serius kenyataan yang dibuat Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Noor Aziah Mohd Awal yang tidak memberikan gambaran sebenar mengenai situasi semasa pengurusan depot Imigresen di seluruh negara.
Katanya, Jabatan Imigresen sentiasa mematuhi ketetapan di dalam Peraturan Minimum Standard Bangsa-Bangsa Bersatu bagi tahanan (The Nelson Mandela Rules), Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan-peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot 2003).
“Jumlah kapasiti tahanan di Depot Imigresen Lenggeng Negeri Sembilan adalah seramai 1,000 orang iaitu 800 untuk tahanan lelaki dan 200 untuk tahanan perempuan.
“Sehingga 24 April 2022, jumlah tahanan di Depot Imigresen Lenggeng adalah seramai 779 orang terdiri daripada 583 tahanan lelaki, 173 tahanan perempuan, 15 tahanan kanak-kanak lelaki dan 8 tahanan kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Noor Aziah menerusi kenyataan media berkata, hasil lawatan pemantauan ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng di Negeri Sembilan mendapati keadaan sesak tahanan, manakala tiga premis sama kekurangan kakitangan.
Katanya, selain Lenggeng, dua lagi depot tahanan yang dikesan mengalami kekurangan kakitangan ialah Langkawi dan Belantik masing-masing di Kedah.
Noor Aziah turut mencadangkan agar jabatan itu menambah lebih ramai kakitangan di depot imigresen yang kekurangan kakitangan.
Mengulas lanjut Khairul berkata, jumlah kapasiti tahanan di semua 21 depot Imigresen seluruh Malaysia termasuk tiga depot Imigresen sementara adalah 21,150 orang.
Beliau berkata, sehingga 24 April 2022, jumlah tahanan di depot-depot tersebut adalah seramai 17,624 orang terdiri daripada 12,895 tahanan lelaki, 3211 tahanan perempuan, 851 tahanan kanak-kanak lelaki dan 677 tahanan kanak-kanak perempuan dengan kesemua tahanan kanak-kanak ditempatkan bersama penjaga mereka.
Berkaitan penjawatan pula, Khairul berkata pihaknya telah mengkaji keperluan perjawatan bagi semua depot pada tahun 2019 dengan mengambil kira keperluan sebenar pegawai.
“Usaha itu telah dipersetujui oleh agensi pusat termasuk tambahan jawatan di empat pusat tahanan sementara (PTS) di Sabah selepas pengambilalihan daripada MKN.
“Jabatan Imigresen sedang membuat pengisian kekosongan jawatan termasuk di depot-depot tahanan secara berterusan,” katanya.