Najib fail petisyen rayuan sabitan kes SRC di Mahkamah Persekutuan

Najib fail petisyen rayuan sabitan kes SRC di Mahkamah Persekutuan

Ia menyusul keputusan sebulat suara panel tiga hakim membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk memfailkan petisyen rayuan terbabit.

Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib Razak kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC International. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak akan memfailkan petisyen rayuan untuk mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Ini susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, yang membenarkan permohonan Najib untuk lanjutan masa selewat-lewatnya hari ini untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan dan Mary Lim Thiam Suan.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas permohonan itu didengar secara dalam talian.

“Bagi permohonan (oleh Najib) untuk lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan hari ini, keputusan sebulat suara (diberi) oleh Mahkamah Persekutuan untuk memberikan lanjutan itu mulai 11 April.

“Pemohon (Najib) akan memfailkan petisyen rayuan untuk rayuan utama kes (sabitan) SRC selewat-lewatnya hari ini,” kata Ashrof selepas pendengaran permohonan itu.

Pada 11 April lalu, ahli Parlimen Pekan itu melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya pada 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

Berdasarkan afidavit sokongannya, Najib berkata, alasan penghakiman yang disediakan hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lalu.

“Mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti semua rekod rayuan dan menyediakan petisyen rayuan lengkap dalam masa singkat bagi menangani segala isu yang dibangkitkan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan.

“Alasan penghakiman itu perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang terpakai.”

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.