JIPS akan siasat pegawai polis ‘live’ di media sosial ketika serbuan

JIPS akan siasat pegawai polis ‘live’ di media sosial ketika serbuan

Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak akan berkompromi jika benar pegawai berkenaan berbuat demikian semata-mata untuk mengumpul pengikut.

IPS akan mengeluarkan arahan hari ini berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota polis, menurut Razarudin Husain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) akan menyiasat sebuah klip video tular di media sosial yang dipercayai disiarkan secara langsung oleh seorang pegawai polis wanita berpangkat ASP ketika serbuan di sebuah pusat hiburan.

Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, pihaknya dalam proses meneliti lokasi serbuan dan tarikh siaran langsung diadakan.

“Saya sudah arahkan JIPS untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya untuk merakam kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi.

“Pada masa sama, kita juga mahu mengetahui motif dan tujuan sebenar beliau membuat rakaman secara langsung melalui akaun (media sosialnya) itu,” katanya, menurut laporan Kosmo.

Tambahnya, JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini jika benar dakwaan bahawa pegawai polis berkenaan berbuat demikian semata-mata untuk mengumpul pengikut di media sosial.

JIPS juga akan mengeluarkan satu arahan hari ini berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota polis, katanya lagi.

Terdahulu, tular sebuah klip video yang dipercayai disiarkan secara langsung di platform media sosial oleh pegawai polis tersebut semasa membuat serbuan bersama pasukannya.

Video itu mendapat kecaman warganet yang mempersoalkan tindakan pegawai tersebut membuat siaran langsung ketika bertugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.