2 ahli Dewan Negara angkat sumpah

2 ahli Dewan Negara angkat sumpah

Mereka ialah Timbalan Ketua Umno Kelantan, Mohamad Fatmi Che Salleh dan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, A Kesavadas Nair.

Rais Yatim (tengah) beramah mesra dengan Mohamad Fatmi Che Salleh (kiri) dan A Kesavadas Nair (kanan) selepas upacara mengangkat sumpah sebagai senator di Parlimen hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua ahli Dewan Negara hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim.

Mereka ialah Timbalan Ketua Umno Kelantan, Mohamad Fatmi Che Salleh dan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, A Kesavadas Nair.

Fatmi adalah lantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 24 April 2025, manakala Kesavadas Nair adalah lantikan semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi tempoh sama.

Kedua-duanya mengangkat sumpah sebagai senator dalam majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Ketika berucap mengalu-alukan pelantikan dua ahli Dewan Negara itu Rais mengingatkan mereka supaya memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai senator sebaiknya, termasuk dalam usaha mentransformasi Parlimen.

Beliau berkata, usaha mentransformasi Parlimen itu harus dipercepatkan dengan mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan meminda Akta Majlis Parlimen berkaitan keistimewaan dan kuasa agar kewibawaannya terus berada di kedudukan tinggi.

“Saya sesungguhnya berharap inisiatif di bawah agenda transformasi Parlimen dapat diterjemahkan ke arah meningkatkan reputasi Parlimen sebagai institusi yang mempertahankan kepentingan rakyat dan menjunjung nilai demokrasi.

“Harus saya tumpukan juga pemerhatian kita kepada Rukun Negara…alangkah baiknya sekiranya ada usaha agar Rukun Negara terus dijadikan piagam kenegaraan, kebangsaan dan perjuangan ahli politik serta semua rakyat Malaysia,” katanya yang berharap senator memainkan peranan secara lisan dan fizikal ke arah usaha itu.

Dalam pada itu, Kesavadas Nair berharap beliau dapat meneruskan perjuangan dalam membawa pelbagai isu di Negeri Sembilan, terutama kesihatan dan pelancongan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai senator.

“Saya akan terus memperjuangkan usaha menubuhkan sebuah lagi hospital di Negeri Sembilan, memandangkan Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban sangat padat kerana terlalu ramai pesakit,” katanya yang juga berharap Port Dickson dijadikan kawasan bebas cukai.

Fatmi pula berharap beliau dan ahli Dewan Negara lain dapat membawa idea baharu serta mencadangkan penambahbaikan terhadap sebarang rang undang-undang yang dibentangkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.