Saravanan sahut cabaran debat oleh Ramasamy mengenai isu buruh paksa

Saravanan sahut cabaran debat oleh Ramasamy mengenai isu buruh paksa

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata beliau berbesar hati untuk menjelaskan perkara itu kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

M Saravanan berbalah dengan P Ramasamy mengenai kenyataannya yang meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan kementeriannya mengenai amalan buruh paksa di negara ini.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia M Saravanan menerima cabaran debat yang dilontarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berhubung isu buruh paksa.

Dalam hantaran di Facebook awal pagi tadi, Saravanan berkata beliau berbesar hati untuk menjelaskan dan mendidiknya mengenai permintaan khusus yang dibuat kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Amerika Syarikat (AS) mengenai amalan buruh paksa di negara ini.

“Saya difahamkan bahawa Ramasamy menjemput saya untuk berdebat isu buruh paksa.

“Kenyataan awalnya dibuat tanpa mengambil kira konteks permintaan saya kepada ILO dan pihak berkuasa AS. Justeru, saya terpaksa bertindak balas,” katanya.

Semalam, kedua-dua pemimpin terbabit berbalah mengenai kenyataan Saravanan dalam isu buruh paksa selepas meminta ILO dan kerajaan AS memaklumkan kementerian mengenai amalan sedemikian di negara itu.

Ramasamy kemudiannya menuduh menteri itu mengambil jalan mudah dengan meminta AS dan ILO menyiasat amalan terbabit di Malaysia.

Beliau selepas itu mencabar untuk mengadakan debat bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Beliau berkata bukan tugas AS atau ILO untuk menyiasat atau campur tangan terhadap amalan buruh di sini tetapi ia adalah tanggungjawab kerajaan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia.

Dalam maklum balas pada hari sama, Saravanan mengecam Ramasamy dan bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran, dengan berkata sebagai ahli politik, mereka harus sedar bahawa rekod prestasi seseorang membuktikan tahap perkhidmatannya.

Tambahnya: “Jika anda tidak faham sila tutup mulut anda dan jangan bercakap untuk mendapat publisiti murahan.”

Saravanan berkata, seperti Ramasamy, beliau berharap ia bukan hanya menjadi debat semata-mata tetapi lebih kepada perkongsian ilmu mengenai usaha kementeriannya dalam menangani isu itu.

“Harapan saya juga supaya debat ini hanya tertumpu kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak di media sosial berkaitan isu buruh paksa. Saya harap dia tidak akan tersasar kepada agenda lain yang tidak berkaitan. Saya harap ini bukan satu lagi drama DAP,” katanya.

Manakala dalam kenyataannya hari ini, Ramasamy berkata beliau gembira apabila menteri itu menerima cabaran untuk berdebat dan berharap Saravanan tidak mencari alasan pada saat-saat akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.