‘Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi’, kata Annuar

‘Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi’, kata Annuar

Bekas setiausaha agung Umno itu berkata, kerjasama PAS dan Umno dalam MN dikhianati pihak lain di belakang tabir demi kepentingan peribadi.

Annuar Musa berkata, kesetiaan kepada parti berbeza dengan kesetiaan kepada individu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Veteran Umno, Annuar Musa menyifatkan tindakan mempertikaikan individu yang berjuang untuk parti sepanjang hayat bukan tindakan baik kerana ia menanam kebencian dalam kalangan ahli dan melemahkan parti.

“Kalau pun jasa tak mahu dikenang, setiakawan mahu disalahertikan, usah soal setia mahu dibicarakan. Usah menikam dalam senyuman,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Bekas setiausaha agung Umno itu berkata, teguran kepada individu atau perlakuan tertentu, bukan perlakuan tidak setia kepada parti.

“Sering parti dijadikan perisai tindakan peribadi. Parti tidak boleh diurus sebagai hak peribadi,” katanya.

Beliau juga mempertahankan kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) yang disifatkannya batu asas kepada kejayaan perpaduan Melayu-Islam pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama itu dikhianati pihak lain di belakang tabir demi kepentingan peribadi.

Kenyataan Annuar itu yang dibuat dalam dua hantaran hari ini, menyusul kenyataan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan pemimpin parti tidak sepatutnya menari mengikut rentak musuh dan melawan keputusan parti.

Kenyataan Zahid itu sebagai respons kepada Annuar tidak memperbesarkan isu dokumen didakwa perbincangan beberapa pemimpin PAS untuk menyingkirkan pemimpin Umno tertentu.

Dalam hantaran pagi tadi, Annuar berkata: “Kesetiaan kepada parti sememangnya amat penting dan ia berbeza dengan kesetiaan kepada individu yang kadangkala dianggap sebagai tanda setia pada parti.

“Bercakap tentang setia kepada parti adalah satu tajuk yang sentiasa menarik. Malah, hampir semua orang bercakap tentang setianya mereka pada parti…kadangkala bukti setia mereka adalah dengan menuduh pihak lain tidak setia,” katanya.

Beliau yang merupakan menteri komunikasi dan multimedia dalam kerajaan diterajui Ismail Sabri Yaakob, dilihat mesra dengan Bersatu, walaupun dianggap musuh oleh Umno.

Dalam hantaran susulan mengenai MN, beliau menyuarakan sokongan terhadap perpaduan Melayu dan umat Islam.

“Yang betul saya sokong, yang salah saya kata salah. ‘Call spade a spade’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.