Cuaca, angin bukan punca paraglider maut rempuh pokok, kata polis

Cuaca, angin bukan punca paraglider maut rempuh pokok, kata polis

Bagaimanapun, siasatan lanjut polis mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah.

Pasukan bomba mengambil dua jam untuk menurunkan mangsa dari pokok setinggi 12.19m di Bukit Batu Pahat semalam. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Faktor cuaca dan angin bukan punca seorang paraglider maut selepas payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Arsad Kamaruddin berkata, insiden itu berlaku dipercayai berpunca daripada masalah teknikal yang belum dapat dikenal pasti sehingga mengakibatkan mangsa tersangkut di atas pokok pada ketinggian 12.19m.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa membuat terjunan dua kali pada hari sama semasa kejadian dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah. Polis juga telah membuka satu kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mohammad Farhad Khalid, 44, maut selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti luncur udara di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.56 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.

Bomba mengambil dua jam untuk menurunkan mangsa dari Subang Jaya itu berikutan ketinggian dan lokasi pokok berkenaan.

Beberapa Orang Asli yang berada di lokasi kejadian terlebih dahulu memanjat pokok berkenaan dan mengikat mangsa menggunakan tali payung terjun bagi mengelakkan lelaki itu terjatuh.

Bagaimanapun, Farhad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.