
Ketua pembangkang Johor itu berkata, semua pemimpin politik bertanggungjawab sepatutnya mencapai konsensus berhubung perkara dianggap adil ketika bertanding pada PRU15, bukannya membenarkan “kluster mahkamah” menyusun langkah dan berpotensi kembali menguasai kerajaan persekutuan.
“Kita tidak perlu tunduk kepada tekanan kluster mahkamah untuk mengadakan PRU yang awal semata-mata bagi membolehkan mereka bebas daripada hukuman jenayah,” katanya dalam Facebook.
“Semua watak utama politik dan pengundi perlu mencari jalan untuk menggagalkan konspirasi kluster mahkamah ini.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah semua wadah politik yang menentang kluster mahkamah, termasuk pemimpin-pemimpin Umno sendiri yang tidak mahu Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi kembali berkuasa, perlu mencari jalan untuk mewujudkan satu peraturan demokratik yang dapat diterima bersama.
“Ini bermaksud tatacara demokratik ini akan dipegang dengan penuh kejujuran oleh semua pihak, tanpa mengira apa-apa perubahan politik, bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil, serta satu proses adil dalam menubuhkan kerajaan pada malam keputusan PRU, jika tiada parti memiliki majoriti mutlak.”
“Kluster mahkamah” merujuk pemimpin terkemuka Umno, termasuk Presidennya, Zahid dan bekas perdana menteri, Najib, yang sedang berdepan perbicaraan atau sudah disabitkan bersalah atas tuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.
Zahid dan Najib antara yang lantang menggesa PRU15 diadakan segera susulan kejayaan besar Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
Liew berkata, demi mengelakkan “kluster mahkamah” kembali berkuasa, semua pihak yang menentang mesti bersatu atau negara ini berisiko merudum.
“Menyedari masalah yang berlaku sebelum ini, kita tidak akan ke mana, jika terlalu ghairah menumpukan masa dan tenaga untuk berdebat sama ada Pakatan Harapan perlu bekerjasama dengan Perikatan Nasional bila mana PRU boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“Buat masa ini, tiada siapa mempunyai kuasa besar untuk mendominasi yang lain.
“Sebagai contoh, saingan utama Umno dalam kerajaan, iaitu Bersatu, kini memegang kuasa Kementerian Dalam Negeri,” katanya sambil menambah kekurangan dominasi sebuah parti atau gabungan boleh digunakan untuk meluluskan lebih banyak undang-undang, selain rang undang-undang anti-lompat parti.
Liew berkata, tiada jaminan Umno-BN akan membentuk kerajaan seterusnya dan masih ada harapan untuk mewujudkan peraturan demokratik lebih adil untuk semua.