2,000 ekor babi ‘hilang’ dari ladang haram dijangkiti ASF

2,000 ekor babi ‘hilang’ dari ladang haram dijangkiti ASF

Exco Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, babi di 19 ladang tidak berlesen itu dipercayai dibawa keluar pemilik ladang ke lokasi tidak diketahui.

Penyakit demam babi Afrika dikesan di sebuah ladang di Port Dickson pada 9 April lalu.
SEREMBAN:
Kira-kira 2,000 ekor babi di 19 ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson, dipercayai dibawa keluar dari kawasan itu tanpa pengetahuan pihak berkuasa berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, semua babi itu yang ditempatkan berhampiran ladang yang dikesan dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF), dibawa keluar pemilik ladang ke lokasi tidak diketahui.

“Pada 13 April lepas, 273 ekor babi yang dijangkiti wabak ASF telah dilupuskan dan beberapa hari kemudian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) yang membuat pemeriksaan di 19 ladang itu mendapati 2,000 ekor babi di situ sudah tiada.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai sebarang bukti sama ada semua haiwan itu telah dilupuskan. Siasatan masih dijalankan dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Bakri berkata, JPVNS turut melaksanakan pemantauan di laluan utama yang menempatkan 19 ladang haram terbabit.

Beliau meminta orang awam melaporkan kepada JPVNS dan pihak berkuasa di negeri ini jika terdapat mana-mana pihak yang cuba menjual babi di bawah harga pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.