Polis tahan 4 lelaki, rampas barangan seludup bernilai RM9.2 juta

Polis tahan 4 lelaki, rampas barangan seludup bernilai RM9.2 juta

Pihak berkuasa juga merampas barang seludup bernilai RM6.76 juta membabitkan rokok putih serta rokok kretek.

Polis berjaya merampas barangan seludup kontraban bernilai RM9.2 juta, termasuk bunga api dan hidupan liar, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Hazani Ghazali. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan empat lelaki dan merampas barangan bernilai kira-kira RM9.2 juta dalam empat serbuan membanteras penyeludupan kontraban, bunga api dan hidupan liar di ibu kota dan Perak, bermula Rabu lalu, hingga semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Hazani Ghazali, berkata serbuan berkenaan dilakukan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK).

Beliau berkata, dalam serbuan pertama menerusi Op Bersepadu Khazanah di sebuah rumah di Setapak, di sini, Rabu lalu, pihaknya menahan dua lelaki dan merampas dua ekor burung Murai Batu dianggar bernilai RM160,000.

“Dalam operasi itu juga, pasukan serbuan berjaya mengesan sebuah stor yang menyimpan 186 kotak pelbagai jenis bunga api bernilai RM650,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, dalam Op Kontraban di sebuah premis perindustrian di Teluk Intan, Perak pada Khamis lalu, pasukan serbuan menahan dua lelaki dan merampas 13,133 karton rokok putih serta 3,300 karton rokok kretek dipercayai diseludup masuk bernilai RM6,764,417.

Beliau berkata, serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM103,000 dan tiga kenderaan.

“Dalam serbuan di sebuah premis perindustrian di Tambun pada semalam pula, polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok dengan merampas 3,349 karton rokok putih dan 253 karton rokok kretek pelbagai jenama dianggar bernilai RM1.4 juta,” katanya.

Hazani berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, sejak Januari hingga semalam, CPSK dan Pasukan Gerakan Am telah melakukan 42 serbuan melibatkan rampasan berjumlah RM50,345,509.66 dan menahan 60 individu.

“CPSK yang diwujudkan di peringkat ibu pejabat Jabatan KDNKA merupakan antara penyumbang utama keberhasilan di bawah Op Kontraban, Operasi Bersepadu Khazanah dan operasi lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.